Berang dengan pencuri yang sudah empat kali melarikan ayam jualan miliknya, seorang peniaga ayam di Pasar Besar Mentakab di sini bertindak berani apabila mengekori suspek yang melarikan ayam kampung di kedainya sehingga ke rumah.
Goh Thiam Keong, 47, berkata, selepas beberapa kali pencuri tersebut melarikan ayam kampung yang diletakkan di tepi kedainya hingga menyebabkan dia kerugian lebih RM1,000 akhirnya dia berjaya mengesan suspek dan mengekorinya sehingga ke rumah.
Menurutnya, suspek berjaya dikesan kira-kira jam 5 petang, 27 Januari lalu di sebuah kedai kopi berhampiran bandar Mentakab.
“Saya perasan nombor kereta pencuri tu, dia tengah minum...saya tunggu dalam kereta sampai dia pulang dengan memandu kereta yang sama.
“Saya ikut kereta tu sampai Jalan Bahagia, Temerloh, ambil alamat dan pulang sebab masa itu masih raya,” katanya sewaktu ditemui di Pasar Besar Mentakab, semalam.
Thiam Keong berkata, kelmarin pencuri yang sama sekali lagi datang dan melarikan dua bakul ayam tetapi kali ini dia menaiki kereta berlainan.
Menurutnya, laporan polis berkenaan kejadian sudah dibuat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga sudah diperoleh untuk dihantar kepada polis.
“Sekarang sudah empat kali dia curi ayam saya, sudah rugi lebih RM1,000...mana boleh tahan macam ni,” katanya.
Thiam Keong berkata, kejadian tersebut berlaku pada 22, 23, 27 Januari dan terbaharu kelmarin melibatkan tiga lelaki.
Menurutnya, tiga jenis kenderaan digunakan kesemua suspek dalam setiap kejadian itu iaitu sebuah Perodua Myvi, sebuah pacuan empat roda dan sebuah jip.
Sementara itu, penternak ayam kampung terbesar Pahang, Mohd Nasir Ishak, 45, berkata, kejadian curi ayam kampung di kawasan pasar itu dibimbangi akan melarat sehingga ke kawasan ladang.
Katanya, memandangkan permintaan terhadap ayam kampung semakin tinggi ketika ini sudah tentu ia membuka peluang kepada penjenayah.
“Saya minta kerjasama pihak berkuasa supaya segera selesaikan kes ini kerana laporan polis berserta alamat rumah pencuri sudah diberi kepada pihak itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor