Tindakan individu bertindak menaikkan status di laman sosial Facebook yang menghina dan mempertikaikan kewibawaan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah dua hari lalu tidak boleh diterima sebuah NGO, Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia (Batas) Pahang sekali gus bertidak segera membuat laporan polis terhadap individu tersebut.
Pengerusinya, Miar Yahya berkata, laporan polis itu dibuat bagi memastikan individu yang tidak bertanggungjawab itu dikenakan tindakan sewajarnya mengikut prosedur undang-undang.
“Segala maklumat lengkap pemilik akaun tersebut telah disertakan dalam laporan dan dia menghantar status tersebut di ruang muka (page) ‘Warga Kuantan’.
“Kita pohon tindakan sekerasnya diambil terhadap individu terlibat dan buat masa sekarang kita tunggu agar dia dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Kuantan di sini, semalam.
Dalam laporan polis tersebut, Miar memberitahu, status tersebut berkenaan secara terbuka menunjukkan seolah-olah sistem diraja seperti tidak mempunyai nilai dan boleh mencemarkan maruah Sultan di negeri ini.
“Ia tidak wajar dilakukan oleh seorang rakyat sendiri yang dipercayai orang tempatan kerana menggunakan ‘Warga Kuantan’.
“Tindakan menghina keluarga diraja itu juga boleh menggores semua pihak termasuk rakyat Pahang yang menyanjungi baginda,” katanya.
Sementara itu, katanya, walaupun status berkenaan sudah dipadam selepas 10 minit tersiar kelmarin dan menerima puluhan komen negatif, laporan polis tetap diteruskan.
“Saya percaya status ini dibuat dengan niat yang tidak baik terhadap kedua-dua individu ternama itu.
“Kami serahkan kepada pihak berkenaan yang berkuasa agar menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor