Pages

Thursday, February 2, 2017

KJ, ANNUAR LAYAK BERTANDING JAWATAN PRESIDEN FAM


Hamidin Mohd Amin


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa layak bertanding merebut jawatan presiden persatuan berkenaan.

Hamidin berkata mengikut artikel 8 Statut FAM, seseorang warganegara hanya tidak boleh bertanding sekiranya diisytihar bankrap, pernah dijatuhkan hukuman lima tahun sebelum pertandingan dan pernah didakwa.

"Pada masa ini, kita belum mendapat pengesahan daripada Khairy sama ada mahu bertanding atau tidak. Beliau mempunyai masa sehingga 13 Feb untuk mengesahkan pencalonannya...kita perlu memberi ruang kepadanya untuk membuat keputusan.

"Bagi Annuar pula, saya rasa setakat ini beliau tidak berada dalam tiga kategori itu, maka beliau layak bertanding," katanya kepada pemberita selepas majlis undian Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia di sini hari ini.

Selain Khairy dan Annuar, dua lagi nama yang dicalonkan merebut 'kerusi panas' itu ialah pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat.

Khairy sebelum ini menyatakan bahawa akan mengambil kira saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bertanding bagi jawatan tersebut.

Annuar pula digantung tugas sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) susulan siasatan ke atasnya melibatkan dakwaan salah guna kuasa berkaitan penajaan kepada pasukan Kelantan.

Hamidin berkata sekiranya seseorang calon termasuk dalam tiga kategori tersebut selepas pemilihan diadakan, maka Jawatankuasa Eksekutif boleh menggantikan individu berkenaan pada mesyuarat agung seterusnya.

Pemilihan FAM akan diadakan ketika Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Sementara itu, Hamidin berkata pihaknya telah menerima pengesahan daripada beberapa calon yang menyatakan keputusan sama ada bertanding atau tidak sejak pencalonan ditutup pada 31 Januari lalu.

"Kita telah menerima empat pencalonan untuk jawatan presiden, lapan timbalan presiden, 21 naib presiden, 30 exco lelaki dan tujuh bagi exco wanita.

"Kita telah menerima beberapa pengesahan, namun saya tidak boleh mendedahkan sekarang. Nama calon yang bertanding hanya akan diumumkan pada 20 Februari ini selepas mesyuarat exco," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor