Kajang – Penduduk sekitar Kampung Sungai Tangkas di sini, gempar dengan penemuan ratusan helaian ayat al-Quran dan naskhah surah Yasin di tepi parit berhampiran laluan terowong menuju ke Stesen Komuter Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, pagi semalam.
Difahamkan, helaian ayat suci berkenaan ditemui dalam timbunan sisa binaan yang dilonggokkan di sebuah tanah lot milik seorang penduduk bukan Islam oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sungai Tangkas, Mohmad Ishak Ali berkata, beliau menerima maklumat berhubung penemuan itu kira-kira jam 10 pagi.
Beliau kemudian bergegas ke lokasi dan terkejut melihat helaian ayat al-Quran serta naskhah surah Yasin bertaburan di sebalik longgokan batu.
“Saya rasa sedih dengan penemuan helaian ayat al-Quran dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Mungkin mereka tak tahu hukum-hakam agama dan cara sebenar melupuskannya, perbuatan tersebut seolah-olah hina agama Islam dan mempersendakan ayat suci,” katanya.
Mohmad Ishak berkata, pemilik tanah mendakwa tidak tahu menahu mengenai kewujudan helaian ayat al-Quran dalam longgokan sisa binaan tersebut.
Pemilik itu mendakwa, dia memesan sisa binaan untuk menambak tanah di depan rumahnya tanpa mengetahui di sebalik timbunan terselit helaian ayat suci al-Quran.
“Saya kesal dengan perbuatan pihak yang buang ayat-ayat suci dengan cara sebegini, apa salahnya dikumpulkan terlebih dahulu dan dilupuskan mengikut kaedah betul.
“Kalau tak tahu, tanyalah kepada yang lebih pakar bab-bab ini,” katanya semua helaian al-Quran ditemui dikutip penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak berkuasa.
Satu laporan turut dibuat di Balai Polis Sungai Tangkas dan penduduk meminta pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pihak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor