Pages

Friday, February 24, 2017

7 PLANET 'BUMI' DITEMUI KELILINGI SEBUTIR BINTANG


7 Planet 'Bumi' Ditemui Kelilingi Sebutir Bintang


Paris – Para pengkaji antarabangsa mengumumkan penemuan menakjubkan tujuh planet seakan-akan Bumi, yang dikesan mengelilingi sebutir bintang kecil di galaksi kita, Bima Sakti.

Penemuan luar biasa itu merupakan harapan paling cerah setakat ini bagi kehidupan di luar Sistem Suria, menurut laporan kumpulan pengkaji angkasa yang diterbitkan menerusi jurnal saintifik ternama Nature.

Tujuh planet itu sama saiz dan jisim planet kita sendiri, malah hampir keseluruhan kawasannya berbatu-batu. Tiga daripada planet tersebut sesuai sekali untuk penyediaan lautan-lautan air yang menggalakkan kehidupan wujud.

Paling penting, lokasinya hampir dengan Bumi dan kemalapan bintang kerdil merahnya dipanggil Trappist-1, akan membolehkan saintis astronomi mengkaji atmosfera setiap satu planet itu dan cari isyarat kimia bagi aktiviti biologi.

“Kami sudah mengambil langkah yang penting terhadap usaha pencarian kehidupan di luar sana,” kata pengarang bersama kajian tersebut, Amaury Triaud, seorang saintis di Universiti Cambridge, Britain.

“Sehingga sekarang, saya tidak rasa kami mempunyai planet-planet yang sesuai untuk mendapat tahu tentang hal ini. Kini kami ada sasaran yang betul,” katanya dalam satu taklimat media.

Sistem Trappist-1, yang hanya sejauh 39 tahun cahaya jaraknya daripada Bumi, bahkan didapati mempunyai jumlah terbesar planet bersaiz Bumi dan diketahui mengelilingi sebutir bintang.




Ia juga dikenal pasti mempunyai jumlah paling banyak “zon iklim sederhana” – tidak terlalu panas hingga air menyejat, dan tidak terlalu sejuk hingga air berubah beku dan menjadi keras.

Penemuan itu adalah bukti kian bertambah bahawa galaksi kita, Bima Sakti, mungkin dihuni berpuluh-puluh bilion dunia yang tidak asing daripada dunia kita – lebih banyak daripada yang disyaki sebelum ini.

Yang menakjubkan, para pakar ilmu falak mungkin melihat ke tempat yang salah ketika membuat kajian mereka selama ini, jelas Michael Gillon, seorang profesor di Universiti Liege di Belgium.

“Idea bagus pendekatan ini ialah mengkaji planet-planet di sekeliling bintang-bintang paling kecil galaksi ini, dan yang hampir dengan kita,” kata beliau yang juga pengarang utama kajian itu.

“Itu sesuatu yang belum dilakukan oleh sesiapa sebelum kami – kebanyakan ahli astronomi biasanya cuma fokus terhadap bintang-bintang seperti Matahari,” katanya kepada para wartawan.

Gillon dan pasukannya mula jejaki Trappist-1 – bintang kerdil “ultracool” dengan kurang 10 peratus jisim Matahari – menerusi teleskop khusus pada 2010, dan tahun lalu melaporkan ada tiga planet dalam orbitnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor