Shah Alam - Sikap masyarakat yang memandang harta benda sebagai ukuran kekayaan menyebabkan ramai di antara mereka terperdaya dengan skim penipuan pelaburan.
Pakar sosial dari Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, masyarakat tidak boleh berterusan menilai faktor fizikal yang dimiliki seseorang untuk disanjung tinggi, tanpa mengambil kira keperibadian dan ilmu yang ada pada individu tersebut.
“Ramai masyarakat hari ini memandang faktor fizikal. Harta benda sering dijadikan ukuran kekayaan dan kesenangan seseorang individu.
Sebab itulah mereka yang tidak berfikir panjang lebih cenderung merebut peluang-peluang pelaburan dan akhirnya terpedaya dengan tawaran dan janji-janji manis,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian hari ini mengenai skim penipuan pelaburan yang menawarkan umpan dan tawaran lumayan kononnya mampu memberi pulangan lumayan dalam masa singkat.
Menurut Mohammad Shatar, masyarakat seharusnya membuang sifat suka mengklasifikasikan seseorang individu berdasarkan aspek-aspek tertentu sahaja.
“Sebahagian manusia memang suka dengan pujian, dihormati dan disanjung. Kebiasaannya, kelompok individu seperti ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan nama, gelaran dan kemewahan.
“Apabila ada orang datang kepada mereka menawarkan keistimewaan-keistimewaan tertentu, sudah pasti peluang itu direbut dengan mudah,” katanya.
Tambahan pula, katanya, pakej ditawarkan itu disertakan dengan bukti dan kemewahan yang sememangnya menjadi dambaan mereka.
“Jika dilihat kepada individu yang menawarkan pakej-pakej itu, mereka bukan pengaruhi orang ramai dengan air liur atau sembang kosong. Mereka datang bersama bukti kemewahan, aset-aset bernilai tinggi, penyata kewangan bank bernilai jutaan ringgit, dan barangan mewah.
“Sudah tentu elemen-elemen yang berbentuk fizikal ini dapat mendorong golongan yang mudah di manipulasi itu menerima secara mudah, walhal itu ‘jerat’ yang memakan diri sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor