Kuala Kurau - “Bahana dadah, saya sanggup pasang niat nak bunuh bapa sebab nak balas dendam.”
Demikian luah seorang tokoh ikon Perang Dadah Habis-habisan Peringkat Daerah Kerian, Muhammad Zeehan Sharudin, 25, yang sebelum ini merupakan bekas penagih dadah selama sembilan tahun.
Berasal dari Parit Buntar, Muhammad Zeehan mendedahkan dirinya terjebak dadah bukan kerana faktor pengaruh rakan sebaya, sebaliknya ingin membalas dendam terhadap bapa kandungnya.
“Masa tingkatan empat, bapa saya paksa saya sambung belajar di Maktab Diraja Tentera (RMC) di Kuala Lumpur, tapi saya tak nak.
“Mula saat itu, jiwa saya mula memberontak, saya alami kejutan budaya dan akhirnya ambil dadah semata-mata nak sakiti hati bapa. Sebenarnya saya amat mementingkan disiplin dan pelajaran, tapi saya akhirnya merosakkan diri sendiri,” katanya pada Majlis Malam Ikon PDH Daerah Kerian di Pekan Kuala Kurau, malam kelmarin.
Majlis hiburan santai berinformatif itu turut dihadiri Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak, Datuk Wira Jamal Jamaluddin, Naib Pengerusi Pemadam Kerian, Baharuddin Md Noor dan Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian, Abdul Rahim Mohd Salleh.
RM500 sehari beli dadah
Bermula dos kecil, Muhammad Zeehan memberanikan diri mengambil dos dan jenis dadah lebih berat sehingga akhirnya pernah membelanjakan RM500 sehari demi mendapatkan bekalan dadah.
“Sepanjang sembilan tahun, hidup saya terumbang-ambing, langsung tak peduli nasihat keluarga malah pernah bertekad membunuh ayah sendiri.
“Perbuatan saya akhirnya menerima pembalasan setimpal apabila ditangkap dan dimasukkan ke dalam Penjara Jawi tahun lepas,” katanya.
Katanya, siapa sangka, dia akhirnya menerima hidayah ALLAH SWT ketika menjalani tempoh hukuman di penjara melalui nasihat beberapa rakan banduan yang sudah kembali ke pangkal jalan.
“Masa dalam penjara, saya masih salahkan keluarga dan terdetik rasa nak balas dendam.
“Tapi rakan banduan menegaskan segala kesilapan dan kejahatan dibuat, diri sendiri perlu tanggung.
“Ditambah pegawai AADK sentiasa melayan kami seperti saudara, saya bertekad menjauhi najis dadah sampai bila-bila,” katanya.
Muhammad Zeehan berkata, setelah dibebaskan, dia mula positif dalam hidup dan bersyukur keluarga termasuk bapanya masih menerima dirinya.
“Kadang-kadang saya rasa malu sebab baru sedar selama ini mereka dicerca dan dikutuk sebab saya, tapi masih sayang saya macam biasa.
“Nasihat saya kepada remaja di luar sana, fikirlah berjuta kali sebelum buat perkara buruk, pertimbangkan maruah keluarga sebelum buat jenayah,” katanya.
Bagi seorang lagi ikon Perang Dadah Habis-habisan, Mohd Amir Abu Hassan, 22, dia mula terjebak akibat pengaruh rakan.
Bermula menghisap rokok, Mohd Amir mula dicabar rakan sehingga terlibat dadah jenis syabu.
“Bahana hisap dadah, saya ditahan bersama adik (Umar Muksin, 21) tahun lalu dan dimasukkan ke Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) Batu Gajah.
“Alhamdulillah, kesan rawatan pemulihan dadah ke atas diri kami amat positif apabila semakin berkeyakinan bergaul dengan masyarakat di samping tubuh badan makin sihat.
“Kami merayu sokongan padu masyarakat untuk terus menerima kami secara positif, sekali gus membantu kami menghindari najis dadah sepenuhnya,” katanya.
Enam daerah terlibat
Sementara itu, Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak, Nur Alisa Alia’m berkata, program Malam Ikon Perang Dadah Habis-habisan daerah Kerian julung kali dianjurkan di Perak dan merupakan simbolik pelancaran kempen itu di negeri ini.
Menurutnya, enam lokasi di Perak terlibat dalam kempen itu iaitu Batu Kurau, Kuala Kurau, Batu Gajah, Pulau Pangkor, Bagan Datuk dan Sungkai.
“Pemilihan dibuat berdasarkan bilangan tinggi kes Orang Kena Pengawasan (OKP), jumlah kes dadah dan kes pelajar positif dadah.
“Melalui kempen PDH, AADK Perak berharap dapat membendung bilangan penagih baharu kepada sifar, di samping lubuk penagih dan pengedaran dadah dihapuskan sepenuhnya,” katanya.
Katanya, bermula 2017, AADK Perak mengenal pasti trend peningkatan kes pelajar sekolah positif dadah di negeri ini.
“Bayangkan pada Januari saja, 30 pelajar sekolah positif dadah, kebanyakan jenis syabu. Peningkatan itu ketara berbanding keseluruhan 195 kes sepanjang 2016,” katanya.
Beliau turut mendedahkan daerah Larut, Matang dan Selama mencatat jumlah kes pelajar sekolah positif dadah paling tinggi pada Januari 2017 iaitu 18 orang, diikuti Kerian sebanyak lapan orang.
"Kebanyakannya pelajar tingkatan 5, kita bimbang masa depan mereka selepas ini. Saya menyeru ibu bapa dan sekolah jangan sembunyikan kes pelajar terlibat dadah semata-mata nak jaga nama baik.
“Bawa mereka kepada AADK untuk bantuan pencegahan dan rawatan pemulihan,” katanya.
Nur Alisa juga menasihatkan ibu bapa memantau, mengawasi dan memberi kasih sayang sama rata terhadap anak-anak.
“Terdapat senario di mana pelajar cemerlang diberi tumpuan lebih, tetapi pelajar bermasalah tersisih aspek akademik atau sahsiah.
“AADK berharap golongan pelajar tercicir diberi dorongan mencapai kejayaan, sekali gus membantu membentuk jati diri utuh,” katanya.
13 kampung bekerjasama
Penghulu Mukim Kuala Kurau, Abdullah Yusof berkata, penganjuran Malam Ikon Perangi Dadah Habis-habisan daerah Kerian dijayakan dengan kerjasama 13 ketua kampung di mukim itu.
Kerjasama semua JKKK kampung memastikan satu program hiburan berinformatif diwujudkan bagi memberi kesedaran bahaya dadah kepada golongan belia.
“Kita bersyukur sambutan masyarakat terutama golongan muda terhadap program itu amat menggalakkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor