Sabak Bernam - "Saya hanya fikir anak kena culik atau lemas di pantai, nasib baik dia ditemui dalam keadaan selamat," kata seorang ibu, Marliza Mohd Yin, 34, selepas anaknya, Muhammad Syarafudin Akmal, 14, gagal dikesan hampir tujuh jam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, Muhammad Syarafudin dikatakan tiba-tiba hilang di rumah datuknya di Taman Aman, Sekinchan, bagaimanapun ditemui kira-kira jam 11 malam di sebuah kafe siber di Sekinchan, di sini.
Marliza yang turut menetap di taman perumahan sama berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu mengikut ibu saudaranya, Maizun, 39, menziarahi jenazah moyangnya yang meninggal di Selayang.
"Dia keluar sejak jam 8 pagi (semalam) lagi ikut kakak saya. Lepas balik ziarah nenek, dia terus balik ke rumah ayah.
"Bila saya datang ke sana (rumah ayah), tengok anak saya dah tak ada, bila ditanya adik beradik lain, mereka kata, mungkin dia (Muhammad Syarafudin) keluar main di taman," katanya.
Bagaimanapun, katanya, perasaannya mula resah apabila Muhammad Syarafudin masih tidak pulang ke rumah selepas Maghrib.
"Rasa macam nak gugur jantung saya bila anak masih tak balik ke rumah sampai lewat malam.
"Kami risau juga, takut dia ke pantai cari remis...lebih-lebih lagi musim ombak kuat masa sekarang," katanya.
Marliza memberitahu, suaminya, Roslan Abd Rahman, 40, berusaha mencari anak mereka di sekitar pantai dan Pekan Sekinchan dan akhirnya menemui Muhammad Syarafudin sedang leka di kafe siber.
"Puas juga suami cari anak masa tu....saya kat rumah tak keruan dibuatnya sebab fikirkan tentang keselamatan anak.
"Suami tergerak hati nak masuk kafe siber dan lega sebab nampak anak berada di sana," katanya.
Marliza berkata, dia bersyukur kerana anaknya itu ditemui dalam keadaan selamat, namun mengakui tersentak dengan kehilangan anaknya itu.
"Suami baru saja balik rumah lepas ditahan di wad hospital, anak pula tiba-tiba hilang.
" Memang waktu tu saya buntu fikirkan tentang apa yang berlaku...Alhamdulillah, semuanya dah selamat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor