Pages

Friday, December 16, 2016

DEPAN MACAM KEDAI MAHAL, BELAKANG MENJIJIKKAN


Depan macam kedai mahal, belakang menjijikkan


Bayan Baru - Keadaan di hadapan kedai nampak seperti kedai mahal, tapi siapa sangka di bahagian belakangnya begitu kotor serta menjijikkan.

Itulah keadaan yang berlaku di dua buah kedai makan di sini.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A Kumaresan berkata, hasil pemeriksaan mendapati keadaan di bahagian belakang kedai juga kucar-kacir.

"Mereka basuh pinggan dan juga memasak di tempat yang sama, memang kotor.

"Pada saya perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pemilik kedai seolah-olah menipu pelanggan," katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan Ops Pemeriksaan Kebersihan di Kompleks Elit Avenue di Bayan Baru.

Hadir sama Ahli Majlis MBPP, Gan Ay Ling, wakil Bahagian Pelesenan MBPP, wakil Jabatan Bangunan, wakil Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBPP, wakil Pejabat Adun Pantai Jerejak dan Badan Pengurusan Bersama Elit Avenue (JMB).

Kumaresan berkata, pemeriksaan mengejut itu terpaksa dilakukan gara-gara pihaknya kerap menerima aduan dari orang awam berhubung isu kebersihan di situ.

Akibatnya, kedua-dua pemilik kedai makan tersebut dikenakan kompaun RM250 atas kesalahan tidak menjaga kebersihan.

Tegasnya lagi, pengusaha kedai makan sepatutnya menjaga tahap kebersihan kedai supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

"Kebanyakan pelanggan datang ke kedai kerana melihat persekitaran di bahagian hadapan kedai amat baik tetapi mereka tidak tahu mengenai tahap kebersihan dapur.

"Adalah tidak wajar apabila peniaga mengenakan bayaran yang tinggi kepada pelanggan tetapi tidak menitikberatkan tahap kebersihan makanan yang disediakan," katanya.

Kumaresan turut menggesa supaya semua kedai makanan termasuk di kawasan komersial, kompleks makanan atau astaka di sekitar Bayan Baru sentiasa mematuhi syarat-syarat kebersihan.

Malah mereka perlu mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan oleh MBPP.

"Pemeriksaan secara mengejut atau rambang di premis makanan juga akan dijalankan dari masa ke semasa," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor