Shah Alam – Israel perlu terus menerima tekanan termasuk bersedia untuk disingkir dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana telah melanggar Perkara 1 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1945 (United Nations Charter 1945)
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, ahli bangsa–bangsa bersatu yang telah berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada pertubuhan melalui perhimpunan agung atas syor Majlis Keselamatan.
“Dengan segala tindakan keganasan yang telah dilakukan Israel serta sikap mereka yang tidak menghormati masyarakat antarabangsa melalui segala resolusi yang dikeluarkan terhadap mereka, sudah sampai masanya semua negara dunia serta masyarakat antarabangsa bersatu bagi menyokong usaha untuk menyingkirkan Israel dari PBB.
Muzaffar berkata, apabila Israel disingkir dari PBB, seluruh negara dunia dapat lebih mudah untuk bekerjasama bagi mencari jalan bagi membantu rakyat Palestin..
“Walaupun perkara ini sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan dari sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat negara Israel seperti Amerika Syarikat namun langkah yang diambil ini sekurang – kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala tindakan keganasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin sekali gus dapat memberi sokongan moral kepada rakyat Palestin,’ katanya, semalam.
Menurutnya, tindakan Malaysia mengemukakan resolusi menghentikan aktiviti penempatan Israel di Palestin bersama tiga lagi negara iatu News Zealand, Senegal dan Venezuela Jumaat lalu adalah wajar.
“Memandangkan Israel masih kelihatan berkeras untuk tidak mematuhi banyak resolusi yang dibuat terhadapnya, sudah sampai masanya masyarakat antarabangsa bersatu untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Israel.
“Pelbagai langkah boleh diambil oleh masyarakat antarabangsa terhadap Israel seperti, memutuskan semua hubungan diplomatik serta mengenakan sekatan ekonomi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor