Pages

Friday, December 2, 2016

#PAU2016: SELESAIKAN MASALAH FELDA ATAU HADAPI RISIKO HILANG UNDI - WAKIL PAHANG




Kuala Lumpur – Felda perlu menyelesaikan semua permasalahan yang dihadapi kerana dibimbangi golongan peneroka yang selama ini berada di belakang kerajaan menunjukkan undi protes pada pilihan raya umum ke-14.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran Dato' Shahaniza Shamsuddin berkata permasalahan Felda adalah perkara mustahak yang perlu diselesaikan khususnya pembayaran buah kelapa sawit yang sering ditangguhkan dan isu penyata hutang tanam semula.

Beliau menambah isu lain yang dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) ialah sara hidup Felda Technoplant yang membebankan dan tidak dikemas kini, masalah perumahan generasi kedua dan kos sara hidup yang semakin menghimpit warga Felda.

“Penubuhan makmal bagi menyelesaikan masalah Felda tidak boleh memakan masa yang terlalu lama kerana kami warga Felda bukanlah ‘tikus makmal yang boleh dijadikan bahan uji kaji’,” katanya.

Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Multimedia dan Komunikasi Pahang berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Shahaniza yang juga cucu kepada generasi pertama Felda dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul iaitu kawasan penanaman kelapa sawit, berkata undi kepada BN adalah ‘satu penghargaan’ kepada jasa kerajaan.

Pada perbahasannya, beliau turut menyentuh mengenai bekalan minyak masak terputus di kawasan Felda, sedangkan Felda merupakan antara pengeluar minyak masak terbesar di dunia.

“Tak jadi lawak ke tuan-tuan dan puan-puan, buka pintu rumah nan menghijau pokok kelapa sawit tapi buka almari dapur tiada bekalan minyak untuk digunakan sebagai keperluan harian,” katanya.


1 comment:

  1. As salam wrt..Sekadar pendapat 1. Saya bersetuju dengan ketegasan Naib Ketua UMNO Bhg Maran Datuk Shahaniza Shamsuddin antara tokoh Wanita UMNO Pahang amat berpotensi ke politik arus perdana yang saya dikenali dahulu sangat aktif sebagai Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia 1 bersama Datuk Azalina Othman Said.

    Isu-isu Felda yang dibangkitkan kelihatan begitu simple seperti isu bayaran harga BTS yang tertangguh, rumah generasi baharu felda dan lain-lain tetapi mencengkam hati seolah-olah generasi Felda boleh diperkotak katik. Namun Felda ada makanisme atau formula mengatasinya..

    Wujudnya pemikir Makmal untuk mengatasi isu Felda perlu dijermakan dalam bentuk realisasi bukan retorik kerana temnpoh sebulan ditetapkan PM kita. Laksanakan segera dalam awal 2017 sebelum musim pilihanraya ke-14..sebelum nasi menjadi bubur.

    2. Keberanian wakil rakyat Kuala Sentol yang juga Exco Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi Pahang itu luar biasa di PAU UMNO 2016 patut dipuji mengetengahkan isu Felda walaupun ramai yang sudah mengetahuinya. Presiden UMNO yang dikenali sangat menyayangi Felda menerusi legasi bapa Allahyarham Tun Razak sudah tentu mendengarkan dengan penuh minat. DS Najib seorang pemimnpin negara Melayu yang hebat ..

    3. Hilangnya DUN Kuala Sentol dalam cadangan pensempadanan semula SPR 2016 sudah lumrah di kawasan itu sejak hilang DUN Bukit Tajau, DUN Hulu Jempol dan kini mungkin DUN Kuala Sentol akan menjadi sejarah baharu.

    4 Bagi saya walau apapun UMNO dan BN mesti menang disemua kawasan lebih dengan majoriti lebih banyak. Bagi pribadi saya bila berbicara siang pandang-pandang bila malam dengar-dengar dan falsafah dan tamthil ibarat orang tua-tua sentiasa diamali ` nak pukul kucing tu lihat dulu siapa tuannya` bimbang tuan itu tidak boleh terima. ini kerana zaman menuju abad ke-21 semuanya kemungkinan belaka..












    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor