Kuala Lumpur – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata perhimpunan Agung UMNO 2016 kali ini memperlihatkan perkembangan yang positif apabila jurucakap-jurucakap yang mewakili negeri-negeri kebanyakkannya terdiri di kalangan orang-orang muda.
Beliau sekaligus melahirkan rasa gembira berhubung perkara ini apatah lagi jurucakap-jurucakap generasi muda ini memperlihatkan kematangan mereka dalam membahaskan atau membicarakan sesuatu usul yang diingin disampaikan.
“Kita gembira melihat keghairahan dan minat terutama di kalangan orang muda untuk menjadi jurucakap pada perhimpunan kali ini. Misalnya dalam persidangan sayap Puteri, saya melihat minat yang ditunjukkan oleh wanita-wanita generasi muda dalam mengambil bahagian dalam membicarakan isu-isu politik.
“Tahun ini merupakan tahun ke 36 saya mengikuti perhimpunan agung UMNO tanpa ada putus di mana saya telah mengikuti perhimpunan agung UMNO sejak dari tahun 1981 lagi. Saya dapat lihat perjalanan perhimpunan agung ini dalam tempoh yang panjang di mana dulunya tidak ada banyak ruang dan peluang yang dibuka kepada wanita muda.
“Setelah tamatnya perbahasan tadi, saya gembira kerana melihat satu daripada perkara yang agak signifikan ialah penyertaan ramai jurucakap-jurucakap yang baru dan daripada kalangan jurucakap itu rata-ratanya terdiri daripada golongan muda.
“Biarpun ramai jurucakap pertama kali berucap dalam perhimpunan agung ini namun memperlihatkan kematangan dalam perbahasan dan kita lihat ini merupakan satu perkembangan yang baik buat parti untuk masa depan.
“Tetapi kali ini saya sendiri terlibat dalam jawatankuasa pengurusan, saya melihat peluang dan ruang yang diberikan kepada generasi wanita muda ini merupakan satu faktor tambahan yang boleh kita banggakan,” ujarnya di sini hari ini.
Sementara itu, UMNO menurut beliau harus terus bersikap terbuka dalam menerima kritikan atau pun cadangan khususnya yang datang dari kalangan anak muda agar UMNO dapat memperbetulkan atau menambah baik apa kelemahan yang ada.
“Saya merasakan UMNO mesti bersikap fleksibel dan pragmatik, dan kita mesti meneruskan sikap sanggup mendengar dan juga sanggup menerima teguran mahupun kritikan terutamanya yang datang dari anak-anak muda.
“Perkara itu dapat memandu arah kita untuk membuat penambahbaikan dalam keadaan sekarang kerana banyaknya kritikan yang datang dari luar dan juga dalam, dan saya merasakan UMNO mesti lebih terbuka kepada pandangan atau kritikan sedemikian.
“Perkara ini juga boleh dilihat sebagai satu persiapan buat UMNO untuk lebih mendengar kepada keluh kesah di luar sana dan saya fikir perkara ini merupakan satu perkara yang sangat penting buat UMNO,” katanya.
Tambah Annuar, beliau berharap barisan kepimpinan UMNO dan juga kerajaan dapat terpandu dan terarah dengan petunjuk melalui teguran, syor dan pandangan yang datang supaya UMNO terus dapat memperbaiki dan bermuhasabah diri dalam memberikankan khidmat kepada rakyat.
“Sebagai sebuah parti yang datang dari rakyat, bahawa paling besar sekali ialah sekiranya kita meletakkan jarak di antara kita dan sentimen rakyat yang sebenar. UMNO mesti kembali kepada asas kerana UMNO itu ditubuhkan bagi mendokong roh dan citarasa rakyat di akar umbi.
“Ini penting bagi UMNO untuk terus mengekalkan konsep kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat, maka kita mestilah sanggup untuk mendengar sebarang kritikan, teguran dan juga pandangan. Justeru itu UMNO mestilah sensitif dan responsif dalam mendengar segala teguran tersebut, terutamanya teguran yang datang dari rakyat yang ikhlas,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor