Pages

Saturday, December 3, 2016

CALON PERDANA MENTERI PAKATAN DARI DAP - NIK ABDUH


nik-abduh2


Kuala Lumpur – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta umat Islam tidak terpedaya dengan kata-kata penyokong Pakatan Harapan kononnya calon Perdana Menteri Pakatan Harapan jika berjaya memerintah negara adalah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), bukan DAP.

Ketua DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebaliknya meminta umat Islam Malaysia memerhatikan perkara itu sedalam-dalamnya kerana suasana dan realiti sebenar yang akan berlaku jika Pakatan Harapan memerintah Malaysia bukan seperti didakwa.

“Jika anda berkata, Perdana Menteri akan datang bukanlah daripada DAP, bahkan daripada PKR. Maka DAP tidak boleh berbuat apa-apa ketika laluan pemerkasaan syariah dibuka nanti. Saya berkata, perhatikan apa yang anda hujahkan. Suasana dan realiti di luar adalah sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) ditubuhkan pada tahun lalu bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat dibubarkan oleh DAP bagi menyingkirkan PAS daripada gabungan parti pembangkang kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu meminta umat Islam tidak terpedaya dengan dakyah kononnya UMNO berjaya memecahbelahkan PAS dengan parti pembangkang lain menggunakan isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355).

Beliau turut meminta umat Islam tidak termakan tohmahan kononnya PAS sepatutnya menunggu sehingga kerajaan baru dibentuk bersama Pakatan Harapan yang lebih menjamin keadilan bersama untuk memperkasakan syariat Islam di negara ini.

Beliau sebaliknya meminta umat Islam negara ini bersyukur dengan sokongan UMNO ke atas RUU355 yang merupakan kejayaan bersama umat Islam sambil menerangkan langsung tiada jaminan untuk memperkasakan Islam di Malaysia jika berkerjasama dengan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan.

“Tiada yang rugi selain musuh Islam yang mahukan secara jelas agar Malaysia kekal atau bertambah unsur sekularnya sebagaimana itulah yang disebut secara jelas oleh DAP.

“Jika DAP bermati-matian menolak pemerkasaan hukum syariah , maka apa jaminan DAP boleh bersetuju selepas kemenangan bersama? Adakah kelantangan DAP semasa masih sebagai pembangkang akan bertukar kepada kelembutan selepas memperolehi kuasa?,” katanya.

Beliau turut meminta umat Islam memperingati kelantangan dan kelancangan DAP selepas memperoleh kuasa di Pulau Pinang tetapi lencong mempertahan kesalahan sendiri hingga kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS turut menjadi mangsa.

Justeru, katanya, sebenarnya tiada tanda jelas UMNO sedang menipu PAS kerana yang ada adalah sebaliknya apabila UMNO menunjukkan keikhlasan kerana terpaksa `berpeluh’ berhadapan rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang mengugut keluar BN jika RUU355 diteruskan yang pastinya tidak menguntungkan UMNO.

“Keyakinan saya ialah, PAS di landasan yang benar ke arah penyatuan umat Islam di atas jalan Islam, syariat Islam dan tali Islam yang kukuh dan sempurna,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor