Peranan yang digerakkan oleh institusi masjid di sesuatu kawasan sebagai pusat dalam usaha mengaktifkan Rumah Ngaji sangat penting supaya menjadi model kepada pihak lain.
Ia berikutan kejayaan pelancaran Rumah Ngaji di Masjid Al-Muadzam Shah yang begitu bermakna kerana ia mengumpulkan tiga tempat sekali gus untuk mengaktifkan program berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff, berkata, ia merupakan contoh yang baik dan mampu menjadi model kepada daerah lain untuk turut sama mengaktifkan Rumah Ngaji.
Beliau berkata, bagi usaha itu masjid mengambil peranan sebagai penggerak secara tidak langsung menjadi pendorong kepada komuniti atau organisasi dalam sesuatu kawasan untuk turut serta.
Menurutnya, gelombang yang dibawa itu mampu membentuk komuniti yang berinteraksi dengan al-Quran iaitu baca Quran, faham Quran dan amalkan Quran.
"Apa yang dilakukan oleh Masjid Al-Muadzam shah ini termasuk dua tempat lagi boleh diperluaskan bukan sahaja ke universiti, kolej atau kolej vokasional tetapi banyak lagi organisasi dalam komuniti seperti hospital atau pun sekolah.
"Jadi mari lah kita sama-sama gerakkan dan aktifkan Rumah Ngaji serta #quranhour," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Ngaji di Masjid Al-Muadzam Shah, hari ini yang turut dihadiri Penyelaras Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak.
Marhaini berkata, kini telah ada lapan Rumah Ngaji di Pahang dan tempat-tempat yang dikunjungi orang dan adanya pengajian Quran secara percuma dengan konsep baca, faham serta amal.
"Kita harap 1438H akan banyak lagi rumah ngaji di Pahang, bukan sahaja di masjid tetapi di organisasi lain dan keluarga sendiri. Kita sama-sama gerakkan hingga capai 100 buah Rumah Ngaji di negeri ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor