Pages

Monday, December 19, 2016

[MARAN] GESA SUKARELAWAN SIAP SIAGA BANTUAN KETIKA BANJIR


Gesa sukarelawan siap siaga bantuan ketika banjir


Semua pihak khususnya Skuad Sukarelawan Pemuda dan Skuad Sayang Umno Bahagian diminta siap siaga menghulurkan bantuan ketika bencana.

Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, walaupun banjir belum berlaku namun anggota Umno diminta bersedia membantu Jawatankuasa Bencana Kampung, Mukim dan Dearah sekiranya berlaku bencana tersebut.

Menurutnya, saban tahun anggotanya tidak pernah lepas tangan dalam membantu masyarakat mencurahkan khidmat bakti, maka semestinya pada kali ini juga mereka tidak akan membiarkan pihak berkuasa Polis, Bomba dan Penyelamat, Japam, Rela dan lain NGO sahaja turun padang membantu mangsa banjir.

"Hal ini sudah menjadi tanggung jawab bersama. Bantuan ikhlas yang dilakukan itu akan mendapat balasan baik daripada ALLAH. Hari ini ada orang yang memerlukan bantuan, mungkin esok ataupun lusa giliran kita pula. Pujian harus diberikan kepada anggota sukarelawan ini. "katanya kepada pemberita di sini.

Ismail berkata, dalam proses pengurusan bencana, setiap ahli Umno perlu bersama anggota penyelamat lain akan berada di pusat pemindahan atau lain-lain pusat untuk memberikan pertolongan.

"Persediaan awal menghadapi banjir kali ini sudah diatur dengan baik berdasarkan pengalaman yang mengajar kita dalam tragedi banjir tahun 2014 lalu.

"Ia menjadikan pengajaran supaya semua pihak terutamanya penduduk di kawasan mudah dilanda banjir bersiap siaga," tambahnya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan penduduk supaya mengikuti arahan dan nasihat pihak berkuasa ketika banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran selanjutnya memberitahu, Pejabat Perkhidmatan Parlimen Barisan Nasional dan Pejabat Umno Bahagian Maran akan dibuka 24 jam ketika bencana banjir.

"Kedua pejabat itu akan menerima laporan mengenai banjir termasuk mangsa terbabit yang kemudiannya maklumat akan disalurkan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah sebagai membantu pihak berkuasa menyelaraskan gerakan menyelamat dan memberikan lain-lain bantuan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor