Menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal bukan mudah, apatah lagi jika diuji dengan kehadiran anak OKU.
Bagaimanapun, Aishah Husin, 37, tetap tabah dan berusaha memastikan kehidupannya dan empat anaknya termasuk Muhammad Farhan Mohd Rafsham, 7, yang kurang upaya, terurus.
Katanya, Muhammad Farhan tidak mampu menguruskan diri sendiri kerana tidak boleh berjalan dan bercakap.
“Dia alami penyakit asma yang kronik selain masalah usus. Ini menyebabkan anak saya hanya boleh berjalan guna lutut serta tidak mampu bercakap.
“Ini menyebabkan saya sukar untuk meninggalkannya sendirian kerana dia tak boleh urus diri sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jaya Gading, di sini semalam.
Aishah berkata, ketika Muhammad Farhan dilahirkan, dia tidak menangis seperti bayi lain hingga terpaksa dimasukkan di dalam wad lebih dua minggu.
“Doktor beritahu anak saya mempunyai masalah usus dan asma kronik. Masa itu hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya.
“Sebelum ini, dia langsung tak boleh berjalan namun selepas beberapa kali fisioterapi, barulah dia boleh berjalan guna lutut,” katanya.
Wanita itu berkata, dia sentiasa menaruh harapan supaya anak kedua itu boleh berdikari dan menjadi seperti kanak-kanak normal lain nanti.
“Setiap bulan saya akan memperuntukkan hampir RM150 untuk keperluan lampin pakai buang untuknya,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, kesusahannya menjadi lebih ringan apabila anaknya itu menerima bantuan RM300 daripada JKM.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor