London – Seorang bekas askar Britain disahkan menghidap sejenis penyakit otak yang nadir serta menyebabkan dia percaya dirinya sudah meninggal dunia dan menjadi hantu.
Warren McKinlay, 35, disahkan menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai Sindrom Cotard selepas terbabit dalam satu kemalangan motosikal pada 2005 yang hampir membunuh dirinya.
McKinlay yang berasal dari Braintree, Essex dekat sini berkata, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan serius termasuk di bahagian kepala dan dirawat di sebuah hospital tentera.
“Pada waktu itu ramai askar British yang cedera dalam perang di Afghanistan dirawat di hospital sama.
“Setiap hari saya melihat ada askar yang mati dan ramai juga kehilangan anggota badan,” katanya.
Menurutnya, selepas beberapa bulan dirawat di hospital dia akhirnya sembuh dan dibenarkan pulang tetapi mula berkelakuan ganjil.
“Kerana sering melihat kematian ketika di hospital, saya secara perlahan-lahan percaya saya juga sudah mati dan menjadi hantu.
“Saya juga tidak makan kerana percaya tiada gunanya saya makan akibat sudah meninggal dunia,” jelasnya.
Menurutnya, penyakit itu menyebabkan dia sering mengasingkan diri dan tidak bercakap dengan isteri serta anak-anaknya kerana percaya dia sudah menjadi hantu.
Katanya, keadaan itu berlarutan selama 18 bulan sebelum dia kembali pulih selepas menjalani rawatan psikologi.
Seorang pakar berkata, Sindrom Cotard sangat jarang berlaku dengan kebarangkalian satu dalam satu bilion.
Menurutnya, penyakit itu boleh membawa maut kerana pesakit tidak mahu makan apabila menyangka mereka sudah mati.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor