Pages

Wednesday, December 28, 2016

FGV JAWAB KERUGIAN PELABUR-PELABUR SAHAM UTAMA





KUALA LUMPUR – FELDA Global Venture Holdings Bhd (FGV) hari ini tampil menjawab spekulasi berkaitan kerugian pelabur-pelabur saham utama FGV melalui satu kenyataan kepada media.

Spekulasi tersebut mula timbul apabila minggu lalu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melupuskan pegangan saham di FGV dimana pelbagai tuduhan dicetuskan yang mempertikaikan kredibiliti FGV.

Menurut kenyataan tersebut, ketika disenaraikan pada Jun 2012, harga saham FGV diterbitkan pada harga RM4.55 sesaham dan melonjak ke paras melebihi RM5.00 pada awal apungan disebabkan sentimen pasaran yang cukup baik ketika itu.

Harga komoditi dan pasaran industri perladangan sawit ketika itu berada ditahap yang cukup tinggi dan penyenaraian dibuat pada tempoh yang tepat.

Bagaimanapun, selepas itu, harga komoditi sawit dunia mula mencatatkan penurunan yang secara langsung telah mempengaruhi sentimen pelabur ke atas kaunter-kaunter saham berasaskan komoditi berkenaan termasuklah FGV.

Penurunan ketara harga saham FGV mula dicatatkan pada 2014 di mana ketika itu berlaku penuruan drastik harga minyak sawit mentah (MSM) dunia dan banjir besar.

Pada 2015 pula berlaku fenomena El-Nino yang terburuk dalam sejarah dan ini bukan sahaja memberi kesan kepada FGV malah kepada syarikat perladangan sawit yang lain.

Faktor-faktor ini secara langsung telah memberi kesan kepada prestasi syarikat perladangan dan dalam masa yang sama mempengaruhi sentimen pelabur ke atas saham-saham kaunter berasaskan komoditi sawit.

Pada pertengahan tahun 2016, harga MSM dunia mula mencatatkan peningkatan yang baik dengan merekodkan harga harian melebihi RM3,000/tan, bagaimanapun disebabkan impak fenomena El-Nino telah menyebabkan pengeluaran merosot untuk jangka masa yang lebih lama dari dijangka.

Saham FGV didagangkan sekitar RM1.50-RM1.70 pada Disember 2016.


Datuk Zakaria Arshad


“Memang diakui berlaku kerugian di atas kertas kepada semua pelabur-pelabur utama FGV, namun perlu diingatkan bahawa sebagai sebuah syarikat perladangan, prestasi FGV perlu dinilai untuk tempoh jangka masa yang lebih panjang.”

“Perlaburan dan sektor perladangan adalah berkonsepkan jangka masa panjang kerana melibatkan fasa turun naik harga komoditi berkenaan di pasaran dunia,” jelas FGV.

“Sejak disenaraikan pada 2012, FGV tidak pernah gagal memberi dividen kepada semua pemegang saham walaupun ketika syarikat berdepan dengan situasi perniagaan yang mencabar.”

“Ini jelas menunjukkan FGV adalah sebuah syarikat yang kukuh dan berpotensi besar untuk berkembang pada masa hadapan,” jelasnya.

Untuk makluman, FGV ketika ini sedang dalam proses transformasi perniagaan dan operasinya yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif baharu iaitu Dato’ Zakaria Arshad.

FGV sedang membangunkan pelan strategik 2017-2020 bagi memastikan kumpulan kembali bangkit dan memberikan pulangan yang baik kepada pemegang saham serta pihak berkepentingan.

“Pada tahun ini sahaja FGV telah meletakkan sasaran penjimatan kos pentadbiran sebanyak RM100 juta dan ketika ini berada di landasan betul untuk mencapainya.”

“Selain itu, FGV juga sedang giat menambah baik operasi perniagaan teras, menstrukturkan semula operasi, mengoptimumkan aset sedia ada dan mengukuhkan kewangan kumpulan.”

“Pelan strategik yang sedang dilaksanakan oleh FGV dijangka mula membuahkan hasilnya pada 2017 dan membantu operasi kumpulan terus mampan untuk jangka masa panjang,” kata FGV.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor