KECUT PERUT!! Demikian ungkapan pertama Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) tatkala ditanya mengenai perasaannya ketika mengalami sendiri gempa bumi di Christchurch, New Zealand lewat malam tadi.
Datuk Hussamuddin Yaacub yang sedang bercuti bersama isterinya, Datin Jamilah Yahya serta lima lagi ahli keluarganya mengakui sukar melupakan pengalaman yang menakutkan itu.
"Ketika kejadian, saya bersama enam lagi ahli keluarga sedang tidur.
"Tiba-tiba terasa motel satu tinggal tempat kami menginap bergoyang dengan kuat. Rupanya berlaku gempa bumi.
"Siang sebelum kejadian, kami baru sampai dari Picton dengan menaiki keretapi," katanya kepada Sinar Online.
Lewat malam tadi, media melaporkan, South Island di New Zealand digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, kejadian pada jam 7.02 malam itu berlaku 92km timur laut dari bandar Christchurch.
Tambah Hussamuddin lagi, beliau dimaklumkan oleh pengurus hotel lokasi motel berada kira-kira 20 minit dari kawasan pantai.
"Saya dengar radio, juruhebah meminta orang ramai tidak menggunakan jalan raya kerana bimbang jalan tak selamat dan berlaku jambatan runtuh.
"Kami menginap di Addington City Motel, Addington di Christchurch dan hanya 10 minit dari stesen keretapi," katanya lagi.
Bagaimanapun, menurut Hussamuddin, hari ini beliau dan ahli keluarganya telah berangkat ke Twizel, sebuah kawasan pedalaman di atas bukit.
"Kami bergerak meninggalkan Christchurch jam 11 pagi tadi untuk ke Twizel. Saya memandu sendiri.
"Penat, penat juga. Tetapi perjalanan harus diteruskan juga. Nak patah balik pun bukan senang.
"Penerbangan mesti payah nak dapat tempat duduk. Pelancong mesti berlumba-lumba nak pulang," ujar beliau mengakhiri cerita.
Terdahulu, Christchurch pernah dilanda gempa bumi berskala 6.8 Richter pada 21 Februari 2011.
Gempa bumi tersebut melanda Kota Christchurch dengan begitu teruk sekali dan menyebabkan kemusnahan yang teruk.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor