Pages

Monday, November 14, 2016

JUMPA GIGI DALAM MI GORENG


Jumpa gigi dalam mi goreng


Ipoh – Seorang lelaki terkejut apabila menjumpai gigi berkarat dalam mi goreng ayam yang dihidangkan kepadanya di sebuah restoran di kawasan Chemor di sini, Rabu lalu.

Pengadu, M Agilan, 25, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang ketika makan tengah hari sebelum menyambung kerjanya sebagai tukang cuci kereta di kawasan berkenaan.

“Saya tidak nampak sebarang keganjilan dalam hidangan itu dan terus menikmati makanan sehinggalah saya tergigit sesuatu yang keras yang saya sangka adalah batu.

“Apabila saya luahkan, saya terkejut menemui cebisan besar gigi yang berkarat. Saya berasa loya dan jijik melihat objek itu dan terus tidak berselera mahu makan,” katanya.

Tidak puas hati dengan penemuan objek itu, dia mengadu kepada pengurus restoran yang berjanji akan membiayai kos perubatan sekiranya pengadu mengalami gangguan kesihatan.

“Pihak restoran bersikap lepas tangan pula apabila saya ingin mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerana mengalami sakit perut kira-kira satu jam selepas menikmati hidangan itu.

“Mereka tidak mahu angkat panggilan dan saya hanya membeli ubat di kedai. Apabila saya ingin mendapatkan penjelasan, pengurus restoran bertindak membuat laporan polis pula terhadap saya,” katanya.

Agilan berkata, dia membuat laporan polis berhubung penemuan gigi berkenaan bertujuan meminta Kementerian Kesihatan dapat membuat pemeriksaan kebersihan di kedai berkenaan.

“Saya difahamkan ramai pelanggan ada buat aduan mengenai tahap kebersihan kedai itu sebelum ini, tetapi pihak restoran memandang ringan terhadap aduan orang ramai,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor