Perodua Sales Sdn Bhd akan mengambil tindakan ke atas individu yang melemparkan dakwaan palsu stereng terkunci pada Perodua Axia menerusi laman sosial, baru-baru ini.
Menyanggah dakwaan terbabit, Pengarah Urusan Perodua Sales, Datuk Dr Zahari Husin berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali dan pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan untuk membuat siasatan menyeluruh ke atas dakwaan tersebut.
“Kami kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menyebabkan dakwaan palsu ini yang mana telah menjejaskan nama baik Perodua.
“Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengesan mereka yang terlibat. Kami juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini kecoh di media sosial dengan dakwaan beberapa kemalangan melibatkan Perodua Axia berpunca daripada stereng yang terkunci secara tiba-tiba.
Maklumat itu mendapat perkongsian dan respons meluas daripada netizen.
Perodua dalam pada itu turut memberi jaminan kepada pelanggannya yang semua kenderaan yang dijual telah melalui prosedur keselamatan yang ketat.
“Prosedur keselamatan telah ditetapkan oleh Bahagian Kawalan Kualiti kami termasuk agensi berkaitan seperti Sirim dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Perodua sentiasa mengalu-alukan maklum balas daripada pelanggan dan kami mempunyai pasukan khas untuk menyelesaikan segala isu berkaitan produk mahupun perkhidmatan kami, jika ada,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor