Bachok - Seorang warga emas di Kampung Cherang Hangus terkejut apabila bumbung rumahnya diterbangkan ribut, baru-baru ini.
Rosidah Ismail, 64, berkata, kejadian disertai hujan lebat dan petir itu menyebabkan sebahagian bumbung rumahnya termasuk di bahagian ruang tamu dan bilik tidur diterbangkan ribut.
"Makcik amat terkejut dan terpaku apabila angin kencang menerbangkan bumbung rumah makcik. Selepas hujan reda baru makcik keluar untuk dapatkan bantuan jiran-jiran.
"Mereka datang dan ambil gambar untuk diserahkan kepada pihak berkenaan bagi mendapatkan bantuan baiki bumbung rumah," katanya ketika dilawati Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Melayu SeMalaysia, Datuk Abdullah Sani Yaacob bersama Penyelaras Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Husain.
Kata Rosidah, dia tinggal sendirian memandangkan dua anaknya menetap di Kedah dan seorang lagi di Bachok.
"Sebelum ini kejadian ribut jarang berlaku, malah kali terakhir ribut berlaku beberapa tahun lepas menyebabkan pokok kekabu tumbang menimpa sebahagian kecil rumah makcik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor