Penulis masih ingat ketika gemulah nenek yang penulis panggil Tok Jah masih ada, penulis selalu ke rumahnya untuk berbual-bual. Usia penulis ketika itu lebih kurang lapan tahun.
Tok Jah akan bertanya penulis, “datang dengan gerekkah?”. Selepas itu dia bertanya lagi sebelum penulis berkesempatan menjawab soalan pertama, “dah pandai naik galang atau masih naik celah?”. Penulis menjawab, “dah naik galang tok…”.
Penulis yakin, soalan-soalan Tok Jah tidak mungkin difahami oleh remaja kini. Gerek sebenarnya bermaksud basikal manakala naik celah bermaksud menunggang basikal dengan memasukkan sebahagian badan ke bahagian celah basikal tua.
Pada masa ini, kanak-kanak tidak lagi menggunakan basikal tua untuk belajar menunggang basikal. Naik galang bermaksud seseorang yang sudah cekap menunggang basikal secara biasa dengan duduk di atas tempat duduk yang lebih tinggi daripada galang basikal tua.
Kehebatan kanak-kanak ketika itu diukur melalui keupayaannya menunggang basikal sama ada naik celah atau naik galang. Tok Jah juga selalu bercerita tentang peristiwa ketika Jepun menyerang Tanah Melayu.
Dia berkata, “soldadu datang untuk mengawal rumah tok, kadang-kadang mata-mata pun ada. Orang kampung menyimpan duit di dalam celepa kerana risau jika dirampas tentera Jepun.
Bekas pinang ini Tok simpan sejak zaman Jepun lagi. Kalau nak bertukar makanan dengan jiran, kami guna sia. Kehidupan ketika itu amat susah, kebanyakan orang kampung bekerja sendiri. Pekerjaan yang hebat pun hanyalah peon dan ayama sahaja”.
Perkataan soldadu, mata-mata, celepa, bekas pinang, sia, peon, dan ayama yang disebutkan oleh Tok Jah sudah tidak digunakan lagi pada masa sekarang. Orang muda-muda mesti tidak faham istilah ini.
Soldadu ialah askar manakala mata-mata bermaksud polis. Celepa bermaksud tin biskut.
Penulis masih ingat Tunku Abdul Rahman pernah menyebut dalam ucapannya kepada orang ramai, “kita asyik berkata tidak mengapa, lama-lama tinggal celepa.” Bekas pula bermakna tepak sirih manakala sia ialah sejenis bekas makanan tertutup yang dibuat daripada tin tahan karat. Peon ialah kerani di pejabat manakala ayama ialah amah yang bertugas di hospital kerajaan.
Ketika penulis melangkah kaki ke sekolah, penulis tidak pernah belajar Matematik, Geografi, dan Sejarah. Penulis dan rakan-rakan bijak dalam mata pelajaran itu kerana kami belajar Ilmu Hisab, Ilmu Alam, dan Tawarikh. Sekolah kami tidak ada perpustakaan tetapi di sekolah kami ada kutubkhanah. Orang muda-muda sekarang mesti tidak faham perkara ini.
Ketika remaja, penulis banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur. Penulis tinggal bersama-sama abang sulung yang bernama Abdul Karim. Rumahnya terletak di atas gon Taman Keramat.
Dari situ, penulis berulang-alik ke tempat kerja di Chow Kit menggunakan bas mini. Penulis sangat bergaya ketika itu. Dabal baju tidak akan dilipat seperti orang lain. Air esen mesti disembur secukupnya.
Kolek bas bagaikan kawan penulis kerana setiap hari penulis menaiki bas mini yang sama. Mengkala dahaga, penulis dan rakan sekerja akan beli ais kepal atau air menet yang dijual oleh peniaga di gerai berdekatan. Ketika lapar, kami hanya membeli nasi untuk dimakan dengan toyu sahaja.
Perkataan gon, dabal baju, air esen, mengkala, kolek bas, ais kepal, air menet, dan toyu tidak mungkin difahami oleh remaja kini. Gon bermaksud kawasan bukit manakala dabal baju ialah kolar baju.
Air esen ialah pewangi yang penulis sembur setiap hari pada badan penulis ketika itu. Perkataan mengkala yang penulis gunakan bermaksud ‘apabila’. Kolek bas sekarang disebut sebagai konduktor bas.
Ais kepal sekarang dinamakan air batu campur manakala air menet ialah air berkarbonat. Perkataan toyu merujuk kicap yang dulunya hanya cap ayam dan cap senapang, Sekarang kicap mempunyai pelbagai cap dan jenama walaupun rasanya sama sahaja. Kaya sungguh bahasa kita sebenarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor