Pages

Thursday, October 20, 2016

[KUANTAN] TAK TAHAN BAU AIR KUMBAHAN


Tak tahan bau air kumbahan


Bukan sahaja menghidu bau busuk, tetapi penduduk di Taman Perumahan Kos Rendah (PAKR) Pandan juga terpaksa berdepan masalah rumah mereka digenangi air kumbahan setiap kali hujan.

Masalah itu didakwa berpunca daripada loji rawatan kumbahan tidak berfungsi dengan baik sejak beberapa bulan lalu.

Lebih mengecewakan, selepas lawatan Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar ke lokasi itu tiga bulan lalu, situasinya masih tidak dapat diatasi.

Bagi wakil penduduk, Mohd Ibrahim A Bakar, 58, berkata, masalah itu seharusnya sudah ditangani pihak bertanggungjawab kerana mereka sudah beberapa kali membuat aduan.

“Sampai bila penduduk di sini perlu menghidu bau busuk dan kumbahan melimpah pada hari hujan.

“Kenapa tunggu begitu lama untuk selesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui ketika lawatan ke loji kumbahan itu, kelmarin.

Mohd Ibrahim berkata, masalah itu semakin teruk kerana melibatkan pencemaran bau malah air parit di situ mengalir ke sungai Kuantan.

Katanya, hanya dua daripada empat pam yang ada berfungsi menyebabkan air kumbahan tidak dirawat mengalir terus ke parit berdekatan sehingga menimbulkan bau busuk dan merosakkan ekosistem di kawasan tersebut.

Sementara itu, Mohd Zaili berkata, dia sendiri sudah beberapa kali membuat tinjauan ke kawasan terbabit dan kecewa dengan keadaan yang berlaku.

Beliau berkata, masalah loji rawatan yang tidak berfungsi dengan baik itu seharusnya diselesaikan segera kerana ia mengganggu keselesaan penduduk di situ.

“Kita bimbang pada musim tengkujuh nanti keadaan menjadi lebih teruk. Saya mohon pihak berkaitan boleh memberi perhatian kepada masalah ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor