Shah Alam - Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blognya bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak kini terdesak untuk melemahkan semangatnya adalah kenyataan bersifat peribadi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, sebagai mantan perdana menteri, Mahathir sepatutnya tampil memberi fokus kepada isu-isu kenegaraan dan memberi idea, khususnya dalam memelihara perpaduan agar keharmonian negara terus terjaga .
“Dengan dakwaan seperti itu, beliau seolah-olah seperti hilang rasional, seharusnya dalam keadaan pasaran ekonomi yang tak menentu ketika ini, beliau mengemukakan idea bernas, lebih-lebih lagi untuk kukuhkan kedaulatan dan sebagainya,” katanya.
Khamis lalu, dalam tulisan di blognya, Mahathir mendakwa bukan sahaja pengawal pengiring motosikal polis untuknya ditarik balik, tetapi pegawai dan tukang masak beliau pun hendak ditukarkan oleh kerajaan.
Dakwa Pengerusi Bersatu itu lagi, kenalannya juga diganggu dengan pelbagai ugutan, terutama mereka yang memilih untuk menyertai Bersatu. Begitu juga kakitangan dalam Proton juga disekat untuk bercakap dengan beliau.
“Saya nampak perkara ini lebih kepada provokasi. Jika betul keadaan ini berlaku, saya sarankan kemukakan nama mereka yang diugut, yang didakwa tidak mendapat kemudahan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan sebagainya itu, tunjukkan bukti,” katanya.
Irmohizam berkata, sesuai dengan sistem demokrasi yang diamalkan negara, rakyat bebas untuk memilih institusi dan parti yang ingin disertai, tiada sekatan untuk berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor