Kota Bharu - Sekumpulan penagih lari lintang pukang selepas port menagih dadah mereka di Jalan Pasir Hor di sini, diserbu dan dirobohkan dalam Ops Roboh, pagi semalam.
Dalam serbuan jam 9 pagi itu, lapan penagih dikatakan sedang berada di dalam bangunan kosong yang difahamkan sebelum ini merupakan bekas kedai gunting.
Hasil pemantauan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu penagih terbabit juga turut meninggalkan beberapa peralatan menagih dadah selain senjata tajam termasuk parang, tukul dan sabit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan curi.
Penolong Pegawai AADK Kota Bharu, Syahrir Jusoh berkata, kumpulan terbabit dipercayai aktif di kawasan port itu sejak enam bulan lalu.
“Kita bekerjasama dengan MPKB-BRI dalam usaha merobohkan dan memusnahkan port dadah di kawasan Kota Bharu dan memastikan kegiatan terbabit bersih dan tidak berulang.
“Setakat tahun ini sahaja sudah 10 port dadah telah dimusnahkan termasuk di Pasir Hor ini dan kita akan sentiasa mengadakan pemantauan berterusan bagi memastikan kegiatan penagihan dadah dapat di banteras,” katanya kepada media.
Hadir sama Ketua Inspektor MPKB-BRI, yang juga Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah Kota Bharu, Mohamad Ali.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Ops Roboh dan musnah sarang penagih dijalankan di kawasan itu dengan kekuatan 40 penyertaan yang disertai pegawai ADDK, MPKB-BRI dan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu.
“Setakat ini penagih yang kita kesan paling aktif berusia antara 17 hingga awal 20 tahun kebanyakannya terlibat dengan penagihan pil kuda.
“Jika remaja terbabit masih bersekolah, kita akan adakan kem pencegahan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kelantan (JPN) dan pantau mereka serta buat ujian saringan bagi memastikan golongan ini bebas dan tidak terus terjebak dalam kancah penagihan dadah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor