Sabak Bernam - “Mama, abang dah sihat,” itu perkataan pertama dilafazkan, Asraf Saiefuddin Nuri Shamsuddin, 12, murid tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari, Sabak Bernam, yang tertusuk gunting pada kening mata kanannya, Selasa lalu.
Asraf Saiefuddin dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan oleh sepasukan doktor pakar di Hospital Sungai Buloh, pagi Rabu lalu.
Bapanya, Nuri Shamsuddin berkata, keadaan kesihatan anaknya itu semakin pulih selepas mula bercakap dan mengenali keluarga juga gurunya yang datang menziarahi mereka di Hospital Sungai Buloh.
“Alhamdulillah, dia dah mula cakap dan boleh interaksi dengan baik. Semalam (kelmarin) dia hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan, tapi mulai tengah hari (semalam) alat itu sudah dicabut,” katanya.
Nuri Shamsuddin berkata, kejadian itu membuka mata ramai pihak yang begitu prihatin terhadap nasib menimpa anaknya.
“Ramai pemimpin negara termasuk guru sekolah anak saya datang ziarah kami di hospital. Saya juga berterima kasih kepada rakyat di negara ini yang mendoakan kesihatan anak saya kembali sembuh,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan, seorang murid tahun 6 di sebuah sekolah di sini, nyaris buta setelah sebilah gunting tertusuk di bahagian atas kening kanan dan hampir mengenai matanya.
Kejadian cemas itu berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari, ketika mangsa, sedang menyiapkan tugasan pendidikan seni di sekolah berkenaan.
Menurut sumber, perbuatan tidak disengajakan itu berlaku selepas mangsa terjatuh hingga menyebabkan gunting yang dipegangnya itu tertusuk di bahagian kening mata kanak-kanak berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor