Pages

Saturday, October 1, 2016

SEKOLAH BAWAH JAMBATAN


Sekolah bawah jambatan


Pada setiap pagi, sebelum membuka kedai runcit miliknya, Rajesh Kumar Sharma, 46, akan menuju ke jambatan metro di timur New Delhi.

Bukan jambatan yang menarik minatnya, sebaliknya apa yang ada di bawah struktur tersebut.

Beliau adalah pengasas tempat itu yang mendapat jolokan sekolah percuma di bawah jambatan.

Tiang jambatan itu menjadi sempadan berikutan ia tidak dilengkapi dinding seperti sekolah biasa dan hanya boleh menempatkan kira-kira 300 murid dalam satu masa kebanyakannya adalah kanak-kanak berasal daripada keluarga miskin yang diberi peluang untuk bersekolah.

"Saya mula membuka sekolah ini pada 2006 dan kini genap 10 tahun penubuhannya. Saya tidak mahu generasi ini ketinggalan dalam pelajaran hanya kerana mereka dihimpit kemiskinan.

"Saya tidak dapat menjadi jurutera akibat kekangan kewangan hingga memaksa saya berhenti kolej. Melalui kanak-kanak ini, saya mahu merealisasikan impian tersebut," katanya.

Sekolah terbabit dijalankan dua sesi sehari; dua jam untuk murid lelaki pada waktu pagi dan dua jam untuk 120 budak perempuan pada sesi tengah hari.

Kebanyakan murid turut belajar di sekolah kendalian kerajaan, namun sekolah di bawah jambatan ini memberikan mereka bimbingan tambahan dalam subjek matematik, bahasa Inggeris, sains, sejarah dan geografi.

Menurut Sharma, beliau juga menggalakkan para muridnya untuk belajar di sekolah kerajaan kerana mereka akan dapat banyak kemudahan seperti makanan percuma.

"Sekolah ini memberikan mereka bantuan tambahan untuk memahami sukatan pelajaran. Ia juga adalah salah satu cara untuk mengelakkan generasi muda daripada terjerumus ke dalam kancah jenayah.

"Mereka memerlukan bimbingan dan kita akan cuba memberi tunjuk ajar melalui pendidikan. Jadi mereka akan mempunyai masa depan lebih cerah," jelasnya lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor