Sikap mangsa yang enggan membuat laporan dan malu mengaku menjadi mangsa antara kekangan dihadapi polis untuk mengumpulkan bahan bukti bagi mengambil tindakan terhadap pemberi pinjaman wang haram atau ah long.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Negeri, Deputi Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kerjasama mangsa untuk tampil membuat laporan polis penting supaya kegiatan ah long dapat dibanteras bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya jangan mudah terpengaruh dengan pinjaman wang tanpa lesen kerana kadar faedah dikenakan terlalu tinggi sehingga mencecah 100 peratus.
“Polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pemberi pinjaman wang haram ini dengan mempertingkatkan operasi Op Vulture bagi menjejaki mereka yang menjalankan aktiviti itu supaya orang ramai tidak terus menjadi mangsa
“Menerusi operasi ini, pemeriksaan turut dilakukan ke atas syarikat pinjaman wang berlesen bagi memastikan lesen digunakan sah dan kadar bunga (faedah) dikenakan mematuhi peraturan ditetapkan pada kadar 12 hingga 18 peratus setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Op Vulture membabitkan penurunan iklan pemberi pinjaman tanpa lesen bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Indera Mahkota 2, di sini semalam.
Operasi melibatkan seramai 14 anggota polis termasuk pegawai dan 15 kakitangan MPK itu menyasarkan beberapa lokasi termasuk Bukit Sekilau, Jalan Haji Ahmad dan Alor Akar.
Mohd Wazir berkata, hasil operasi digerakkan semalam, pihaknya bersama MPK berjaya menurunkan sebanyak 1,013 iklan.
Katanya, setakat ini sembilan kes berhubung kegiatan itu disiasat manakala untuk 2015, sejumlah 18 kes dicatatkan.
Beliau berkata, individu terlibat sebagai pemberi pinjaman tanpa lesen boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Manakala mengikut Sekyen 29 AA (1) APPW 1951, individu didapati bersalah membantu menjalankan aktiviti itu akan dipenjarakan selama tempoh tidak lebih dua tahun tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor