Pages

Sunday, October 2, 2016

GALAK BELIA TERLIBAT SENI PERTAHANAN DIRI


RM150,000 galak belia terlibat seni pertahanan diri


Johor Bahru - Kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan RM150,000 kepada Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Johor sebagai usaha dan galakan kepada belia terlibat dalam seni mempertahankan diri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sumbangan itu adalah kecil, namun yang paling penting adalah mempertahankan cabang warisan seni bangsa yang terdapat dalam negara supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Menurutnya, tidak dinafikan beliau kagum dengan komitmen dan pembabitan anak muda dalam menjunjung seni warisan sejak berzaman ini.

“Silat bukan sekadar seni pertahanan diri bangsa Melayu sejak dahulu lagi, tapi ia menjadi lambang kepada ketinggian budaya dan keluhuran budi orang Melayu.

“Kita harus bangga mewarisi seni dan budaya. Kebanggaan itu seharusnya kita zahirkan dengan memugarkan semangatnya dalam bentuk yang lebih dinamik bagi memastikan ia terus kekal sebagai seni warisan pada dekad mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pembukaan Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Pusaka Hanafi Peringkat Antarabangsa 2016 yang diadakan di Galleria Kotaraya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pewaris Mutlak Silat Cekak, Syeikh Dr Md Radzi Hanafi dan Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Johor, Mohd Shukor Abu Hassan.

Mohamed Khaled berkata, silat mesti dinamik untuk memastikan ia terus kekal sebagai seni warisan, meskipun dunia semakin berkembang.

“Kita akur betapa pesatnya zaman berlalu dan kita tak boleh lari dari arus pemodenan. Oleh itu, sudah tentulah kita perlu membawa perubahan. Maka para pendukung seni ini tak boleh sekadar berpuas hati di takuk yang sama,” katanya.

Terdahulu, kejohanan kali ke-16 itu disertai kira-kira 350 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi mempertandingkan seni silat bertaraf dunia.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor