Baling - Pemilik tanah menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia tidak menghalalkan orang ramai mengambil dan meminum air di Bukit Endoi seperti mana disebarkan dalam media sosial.
Ahmad Hasan, 73, berkata, maklumat yang disebarkan itu tidak benar sama sekali.
Menurutnya, air bukit yang keluar dari kawasan tanahnya itu halal diambil dan diminum oleh masyarakat melainkan digunakan untuk tujuan perniagaan.
“Saya sebagai tuan tanah tidak melarang orang ramai untuk ambil air di Bukit Endoi.
“Cumanya, saya kata kepada seorang yang bertanya ketika dia mengambil air pada petang itu ialah setakat ambil dua hingga tiga botol itu halal, bukan setakat di dunia malah di akhirat.
“Saya hanya larang terus menerus ialah masalah orang ambil untuk berniaga,” katanya ketika ditemui di Masjid Parit Panjang di sini, semalam.
Ahmad berkata, dia turut terkilan dengan sikap masyarakat yang mengambil air di situ tanpa meminta izinnya terlebih dahulu.
Difahamkan, air yang keluar dari celahan batu di Bukit Endoi berusia lebih 100 tahun itu dipercayai masyarakat mempunyai khasiat tersendiri.
Ahmad Hassan berkata, dia mempunyai hak ke atas air tersebut memandangkan air itu berada dalam kawasan tanah miliknya.
“Tanah itu hak milik saya, bukan tanah wakaf atau rizab. Siapa-siapa nak tengok surat kebenaran dari kerajaan negeri sila datang ke rumah, saya akan tunjuk,” katanya.
Menurutnya, individu yang mengambil air berkenaan dalam kuantiti banyak turut diharap menyumbang bayaran setimpal dalam tabung disediakan.
“Kita sedia tabung di situ untuk bayar cukai tanah setiap tahun serta menampung kos pembersihan.
“Orang ambil banyak-banyak itu tolonglah nilai berapa dia ambil. Kita nak guna duit itu untuk jaga kebersihan tempat ini kerana kadangkala ada juga sampah sarap," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Hassan menghalalkan mana-mana individu yang sebelum ini pernah mengambilnya bagi tujuan minum biarpun tanpa pengetahuannya.
“Sebelum ini, siapa yang ambil tanpa minta kebenaran saya untuk tujuan minum, saya halalkan.
“Tetapi ambil untuk tujuan perniagaan saya tidak benarkan sama sekali, yang buat macam tu kena kira lainlah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor