Pages

Thursday, September 22, 2016

RAYU BANTUAN UNTUK IBU LUMPUH


Rayu bantuan untuk ibu lumpuh


Kampung Panchur - Kesempitan hidup selepas ditinggal suami sejak lebih 10 tahun lalu lebih dirasai apabila kesihatan ibu tercinta terus merosot dan kini hanya mampu terlantar di rumah.

Nazimah Mat Peah, 44, berkata, kepayahan yang dihadapi dia dan keluarga berterusan apabila wang kebajikan diterima ibunya, Aminah Abad, 78, terhenti sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, keadaan itu disebabkan kelewatan mengemas kini maklumat mengenai ibunya.

"Ibu dah lama tak dapat duit bantuan, saya terpaksa harapkan dua anak yang kerja kampung hulurkan sedikit belanja tampung keperluan, terutama untuk ibu yang sakit macam lampin pakai buang dan susu khas. Mereka pun dah banyak pinjam duit dengan majikan untuk bantu saya.

"Kalau sebelum ni, saya boleh juga toreh getah di kebun tuan rumah tempat kami sekeluarga menumpang untuk belanja barang keperluan.

"Sekarang ni susah sikit sebab ibu selalu masuk hospital, kadang-kadang baru menoreh tiga hari saya kena cuti. Ibu juga bergantung pada tiub untuk minum dan buang air, langsung tak berdaya uruskan diri sendiri," katanya.

Nazimah berkata, ibunya lumpuh sekitar 2014 selepas kedua-dua matanya rosak.

"Sebelum tu, ibu kerja tukang kait sawit dan matanya masuk habuk. Mula-mula sakit sebelah, lama-lama merebak ke mata satu lagi.

"Keadaan makin teruk bila ibu dah tak dapat melihat dan badannya makin susut disebabkan kuman sudah merebak," katanya.

Menurut ibu tunggal tiga anak ini, perbelanjaan meningkat sejak ibunya lumpuh.

Katanya, kesempitan hidup menyebabkan dia tidak mampu membeli susu khas dan menggantikannya dengan air rebusan nasi sahaja.

“Dulu ibu dapat RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tak rasa beban sangat sebab barang keperluannya boleh beli dengan duit bantuan," katanya.

Nazimah berkata, banyak bantuan cuba dimohon termasuk zakat bagi membantu kehidupannya sebagai ibu tunggal tapi semuanya tidak berjaya.

"Bekas suami orang Indonesia, dia tinggalkan kami empat beranak macam tu saja. Saya tak ada surat cerai, itu jadi penyebab saya tak layak terima apa-apa bantuan.

"Saya harap sangat bantuan kebajikan ibu disambung untuk meringankan beban kami. Malah, saya berterima kasih dengan simpati daripada pemilik kebun yang bagi kami tinggal dalam kebunnya," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor