Skudai - Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, menubuhkan sebuah makmal yang memberi fokus pada penyelidikan dalam bidang keselamatan siber khususnya risikan ancaman siber dan analisa malware serta ancaman berterusan maju.
Bagi tujuan berkenaan, UTM berkolaborasi bersama Cyber Security Malaysia (CSM) untuk mewujudkan makmal berkenaan yang dikenali sebagai UTM-CSM Cyber Security X Lab yang berharga lebih RM100,000.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, antara skop kerjasama yang dijalankan adalah kajian analisa trend terkini aktiviti penggodam seperti analisa kod, memahami mekanisma malware yang digunakan untuk menyerang aplikasi, sistem operasi dan sebagainya.
Menurutnya, peruntukkan berjumlah RM260,000 turut diterima daripada CSM untuk membangunkan penyelidikan bidang tersebut yang akan menempatkan 15 penyelidik sepenuh masa.
“Kita merasakan kewujudan golongan pendidik ini boleh disatukan untuk mengekang serangan siber dalam negara.
“Jadi, penubuhan makmal ini merupakan masa yang tepat memandangkan peningkatan jumlah serangan siber dan teknik penggodaman yang semakin canggih,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) antara UTM CSM di Fakulti Komputeran di UTM, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif CSM, Dr Amiruddin Abdul Wahab yang turut mewakili CSM dalam majlis pertukaran MoU itu.
Ahmad Fauzi berkata, makmal berkenaan dapat menghasilkan visual data untuk memudahkan penyelidikan analisis siber.
“Kemudahan ini sangat bernilai bagi penyelidik keselamatan analisis siber yang memerlukan infrastruktur platform bagi membolehkan pemprosesan data yang berskala besar.
“Makmal ini turut memberi impak secara langsung kepada pihak berkepentingan untuk membangun pertahanan siber negara dari serangan siber yang dinamik serta canggih dari semasa ke semasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor