Batu Pahat - Bagi memudahkan orang ramai di daerah ini melupuskan kitab suci al-Quran, satu pusat pengumpulan al-Quran lama dan rosak dibuka di Kampung Haji Ghaffar, Yong Peng.
Pengerusi Biro Amal Peluk Quran Johor, Fadzil Md Salleh berkata, pembukaan pusat berkenaan membolehkan orang ramai meletakkan naskhah al-Quran di situ, sebelum kerja-kerja melupuskan dilakukan oleh pertubuhan.
Menurutnya, kesemua al-Quran terbabit akan dikumpulkan dan diasingkan mengikut kerosakan serta jenis, sebelum dilupuskan mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam.
“Pusat pengumpulan ini dibuka bagi memastikan kemuliaan naskhah al-Quran dijaga sebelum dilupuskan. Selain itu ia turut dapat mendidik orang ramai untuk melupuskan kitab suci berkenaan dengan cara serta melalui kaedah yang betul.
“Bagi kami, melalui pemerhatian yang dilakukan terdapat segelintir masyarakat yang tidak peka berkenaan cara bagi melupuskan al-Quran. Justeru Biro Amal Peluk Quran mengambil inisiatif ini bagi mendidik orang ramai.
“Pernah apabila kami melawat ke beberapa pusat pelupusan sampah, terdapat helaian naskhah al-Quran dan kitab-kitab dibuang dengan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Dengan adanya pusat pengumpulan al-Quran dan kitab lama ini, masyarakat boleh menghantar naskhah terbabit ke sini sebelum dihantar ke tempat pelupusan,” katanya ketika ditemui.
Fadzil berkata, semasa proses pelupusan berkenaan dilakukan, hampir 500 al-Quran yang sudah rosak teruk akibat dimakan anai-anai atau terbakar dan basah akibat banjir akan dilupuskan dengan segera.
Katanya, ia bagi memastikan pelupusan berkenan mengikut syarak ditetapkan di Pejabat Majlis Agama Islam Johor (Maij), dan tidak dilupuskan dengan cara yang salah atau dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Tambahnya, pembinaan pusat berkenaan turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada Yayasan Qasimul Ulum Kuala Lumpur, Maij, dan Pejabat Agama Islam Daerah Batu Pahat.
Hadir sama ketika pelupusan berkenaan Penolong Pengarah Unit Penapisan Media Bahagian Penyelidikan Maij, Shariah Khamis dan Kadi Daerah Batu Pahat, Baharin Jalal.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor