Ilmu Islami ditautkan oleh ilmu yang benar dan ilmu yang bermanfaat. Sinergi antara keduanya menjadikan Ilmu Islami lebih bertenaga dan terarah dalam membawa perubahan dan memberi makna kepada kehidupan.
Antara bentuk (form) dan isi (substance) memberi erti kepada proses perubahan. Proses perubahan menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan (inevitable).
Tetapi perubahan boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan bergantung kepada isi (substance) yang ingin dipersembahkan. Sekiranya isi kandungan yang hendak disampaikan tidak bersama dengan nilai dan etika sifatnya tidak memandu dan memberi pedoman.
Sekiranya isi terkandung gandingan ilmu naqli dan akli ia boleh memberi petunjuk dan mencerahkan pemikiran manusia. Perubahan yang terjadi hasil pemikiran yang sepadu sifatnya tidak saja menghubungkan diri dengan manusia dan sistem tetapi menghubungkan manusia dengan Penciptanya.
Ada pihak mengatakan ilmu al-Quran menghubungkan manusia dengan Tuhan saja. Ia tidak menghubungkan sistem dan kehidupan itu sendiri. Sistem dan kehidupan itu sendiri adalah hasil pemikiran manusia berasaskan rasional, sains dan teknologi.
Dari sudut Islam kenyataan itu sifatnya bercanggah kerana pemikiran tanpa pedoman al-Quran menyebabkan manusia kehilangan suluh pada diri dan ia boleh membimbing ke jalan hidup yang tidak fitrah. Al-Quran tanpa tunjangan pemikiran dan tadabbur pula menyebabkan ilmu tidak berkembang dan pemahaman terhadap al-Quran sifatnya terbatas.
Dalam al-Quran terdapat pedoman dan petunjuk, gagasan dan iktibar, kisah dan ibrah yang perlu diketahui oleh manusia supaya perjalanan hidup menjadi lebih terbimbing. Hasil dari pemikiran memandu manusia memahami perkara-perkara yang nyata dan fikrah Qurani membimbing manusia memahami yang ghaib.
Gagasan dan fakta yang sifatnya Qurani sama ada yang berkaitan dengan aqidah, ibadah, syariah dan akhlak adalah sesuatu yang amat relevan dengan kehidupan. Tidak saja sifatnya rohhiyyah tetapi juga amaliah.
Bila al-Quran mengungkapkan Illallazi naamanu wa’amilussalihat (Surah al Asr) iaitu orang-orang beriman itu adalah orang-orang yang beramal soleh ia adalah benar dan amat relevan. Lantaran orang tidak beriman melakukan sesuatu ikut rasional dan nafsu-nafsi semata-mata. Ia bakal mendorong kepada kefasadan dan kemungkaran.
Al-Quran dalam Surah al Hujurat (ayat 13) menyebutkan Inna aqramaqum ‘indallah hi atqaqum – karamah insan ada pada orang-orang yang muttaqeen. Apa yang diungkapkan dalam al-Quran secara harfiah memberi makna yang cukup hebat kepada manusia kerana tanpa jiwa takwa kepada diri insan, manusia tidak akan memiliki watak terpuji kerana akhlak karimah itu adalah kurnia daripada ALLAH dalam kalangan mereka yang bertakwa.
Begitu juga bila Rasulullah bersabda addabani Rabbi faahsana ta’dibi – Tuhanku didiklah aku dengan didikan yang terbaik – yang menunjukkan betapa kepentingan adab kepada manusia. Konsep adab bagi sesetengah ulama dan ilmuwan memberi maksud tentang pentingnya disiplin akliah, disiplin hati dan disiplin amal bagi manusia. Tiga komponen pada diri manusia ini kalau sifatnya saling kukuh-mengukuh dan saling melengkapi ia akan membina peribadi yang holistik.
Dalam Surah al Baqarah ayat 146 ALLAH SWT menghubungkan mengenai kejadian langit dan bumi, angin yang bertiup, awan yang berarak sebagai tanda-tanda untuk manusia yang berfikir (ululalbab). Para saintis telah mengkaji gugusan ayat-ayat yang diungkapkan dan ianya memberi maksud saintifik yang amat tinggi nilainya.
Seorang saintis Perancis Prof Maurice Bucaille seorang pakar kejaninan atau embriologi mengkaji ayat-ayat al-Quran mengenai konsep alaqa dan nutfah mendapati pengisahan al-Quran mengenai proses kejadian manusia adalah tepat dan saintifik. Akhirnya beliau kembali kepada fitrah (Islam) dan menghasilkan buku yang amat menarik untuk dibaca iaitu, Al-Quran, Bible and Modern Science.
Terdapat banyak ayat ALLAH yang menjadi sumber ilmu Islami yang menjadi pedoman saintifik kepada ilmuwan dan saintis Islam terdahulu dan melakukan banyak penemuan dalam bidang matematik, astronomi, optik, ilmu bedah, falsafah dan lain-lain dan menyebabkan Barat mengalami proses pencerahan bila ilmuwan Barat mengambil ilmu-ilmu Islam dalam sains dan teknologi dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew dengan meninggalkan bahasa Arab dan menyebabkan sekularisasi terjadi. Sebab itu ilmu Islami yang terkandung dalam al-Quran jika didekati dengan jiwa tadabbur bakal menghasilkan ilmu yang benar dan praktikal dan berguna untuk memberi respons kepada perubahan semasa kehidupan manusia.
* Prof Datuk Dr Sidek Baba Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor