Pages

Friday, September 16, 2016

PM: NEGARA KEHILANGAN TOKOH ULAMA ISLAM


Najib sedih


Shah Alam – Malaysia kehilangan seorang tokoh ulama yang banyak berjasa kepada negara, demikian luah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik menerima berita pemergian Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Perdana Menteri berkata, beliau dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah. Malaysia kehilangan seorang tokoh ulama Islam yang banyak berjasa dan amat saya hormati. Secara peribadi, saya dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat dan disayangi.

“Meskipun landasan politik kami berbeza, kami sama-sama inginkan perkara yang serupa, Malaysia negara Islam yang terus makmur dan sejahtera. Semoga roh Allahyarham Haron Din dikurniakan husnul khotimah dan mendapat syurga tertinggi ALLAH, Syurga Al-Jannah bersama para syuhada. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di Facebook, sebentar tadi.

Sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat.

“Merasai kesedihan pemergian Allahyarham Ustaz Haron Din ke rahmatullah. Semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama hambaNYA yang soleh. Al-Fatihah,” tulisnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata, secara peribadi beliau sangat menghormati Allahyarham dari segi ilmu, perwatakan dan kepimpinannya.

“Satu kehilangan besar. Innalillahiwainnailaihirajiun. Negara kehilangan tokoh agama yang dihormati. Takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas Datuk Dr Haron Din. Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham disahkan telah meninggal dunia pagi ini pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor