Shah Alam - Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din disahkan meninggal dunia pagi ini di Hospital Stanford University Amerika Syarikat.
Berita sedih itu disampaikan melalui akaun Facebook rasmi milik Allahyarham, sebentar tadi.
“Assalamualaikum. Sesungguhnya Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah.
“Semoga ALLAH SWT mengurniakan keampunan, kerahmatan dan nikmat syurga yang kekal abadi,” seperti yang dimuatnaik di akaun Facebook itu.
Malam tadi, Allahyarham dikatakan berada dalam keadaan kritikal berikutan masalah jantung yang dihidapinya.
Sementara Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan memberitahu pihaknya menerima berita pemergian Mursyidul Am Pas itu kira-kira jam 10.10 pagi tadi.
“Jam 10.10 pagi ini, berita kami terima bahawa Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University AS.
“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmatNya dan mengampuni Allahyarham Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya.
Katanya, maklumat lanjut akan menyusul kemudian daripada pihak keluarga Allahyarham.
Pada April 2012, Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat dan awal tahun ini Allahyarham juga beberapa kali menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor