Pages

Thursday, September 15, 2016

MENGGIGIL PAKAIKAN PANGKAT SUAMI


Menggigil pakaikan pangkat suami


Kluang - Seorang isteri menggigil apabila diberi penghormatan oleh Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk memakaikan sendiri pangkat kepada suaminya.

Norfaizah Abd Kadir, 22, berkata, sejak berkahwin dengan suaminya, Mohd Shahrul Nizam Jusoh, 22, yang merupakan seorang anggota tentera pasukan 5 RAMD kira-kira empat tahun lalu, dia tidak pernah terfikir akan diberi peluang seumpama itu.

Menurutnya, apabila dimaklumkan dia wajib memakaikan pangkat kepada suami, dia rasa teruja tetapi pada masa sama bimbang sekiranya cara pemakaian pangkat itu salah dan sebagainya.

“Sebaik nama suami disebut, saya yang berdiri di sebelah suami seolah-olah menggigil kerana khuatir tersilap ketika menyarungkan pangkat kepadanya.

“Suami saya terima pangkat Lans Koperal sebaik tamat mengikuti operasi Khas di Kota Kinabalu. Alhamdulillah saya rasa gembira dengan penghargaan diberikan ini,” katanya.

Norfaizah berkata, walaupun telah diberi tunjuk ajar oleh suami sebelum majlis berlangsung dan ketika berada di rumah, namun perasaan takut itu tetap ada apatah lagi pemimpin paling besar di dalam batalion itu turut sama dalam upacara tersebut.

“Walaupun gementar tapi tetap berbangga sebab diberi tanggungjawab memakaikan pangkat kepada suami, apatah lagi hanya saya seorang daripada isteri anggota yang memakai pangkat Lans Koperal ada di sisi.

“Semoga dengan pemakaian pangkat ini beri semangat buat suami menjalankan tugas dan amanah kepada negara, apatah lagi ketika bertugas jauh di perbatasan negara,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat anggota Batalion kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Batu Tiga, Kluang, semalam.

Norfaizah berkata, mereka yang dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun tidak berasa kesal menjadi isteri kepada seorang anggota tentera walaupun sering ditinggalkan dalam jangka masa lama kerana menjalankan tugas.

“Itulah cabaran hebat yang perlu dihadapi oleh seorang isteri anggota tentera, tapi atas bantuan rakan-rakan serta jiran di kuarters sama sedikit sebanyak membantu menghilangkan rasa rindu kepada suami,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 20 anggota dinaikkan pangkat iaitu enam Sarjan, dua Koperal dan 12 Lans Koperal.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor