Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi 2 di sini, terus mengadakan program bacaan Yasin pada hari terakhir Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai usaha ibu bapa untuk melihat kejayaan anak-anak mereka.
Program yang disertai 30 ibu bapa di surau sekolah tersebut sebagai ikhtiar selain memberi motivasi untuk anak masing-masing supaya dapat menjawab kertas terakhir, subjek Sains, semalam.
Ibu salah seorang calon UPSR sekolah berkenaan, Ramarulnaziah Mohd Said, 40, berkata, dia hadir ke sekolah sejak peperiksaan UPSR bermula pada Isnin lalu bersama-sama dengan rakannya untuk membaca Yasin.
“Harapan kami, dengan usaha ini dan doa yang berterusan, anak-anak kami diberi kekuatan mengingati ilmu pengetahuan yang dipelajari dan menterjemahkan ia menerusi jawapan dengan sempurna dan betul,” katanya.
Menurutnya, bacaan Yasin itu pendekatan memohon keberkatan ALLAH SWT setelah anak mereka belajar selama enam tahun di samping bertawakal supaya memperoleh kecemerlangan 6A UPSR tahun ini.
Sementara itu, Guru Besar SK Felda Kota Gelanggi 2, Jamalludin Baharun berkata, majlis bacaan Yasin dan solat dhuha sebelum ini dikendalikan guru Pendidikan Islam dan PIBG untuk memohon supaya seramai 45 murid tahun 6 sekolahnya beroleh kejayaan.
Beliau berkata, pihak sekolah berterima kasih dan kagum dengan kesungguhan ibu bapa menyertai majlis bacaan Yasin sepanjang peperiksaan itu berlangsung sejak empat hari lepas.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor