Pages

Tuesday, September 13, 2016

FACEBOOK BOLEH JADI PENYEBAB KEMURUNGAN?


Facebook boleh jadi penyebab kemurungan?


Beberapa dekad yang lalu, satu bentuk baru komunikasi telah menakluki dunia dengan perkembangan ketara cara orang menikmati berita dan hiburan.

Jika dahulu, televisyen memberikan impak kepada manusia, walaupun ada yang mempunyai pandangan berbeza malah menurut TS Eliot, televisyen adalah satu medium hiburan yang membolehkan berjuta-juta orang mendengar jenaka yang sama pada masa yang sama, tetapi walaupun demikian mereka terus bersendirian.

Namun kini peranan itu digantikan dengan satu aplikasi baharu iaitu media sosial atau lebih khususnya, Facebook di mana sejak sepuluh tahun lalu, laman sosial itu telah mencapai 1.3 bilion pengguna.

Facebook menghubungkan orang di seluruh dunia namun kewujudannya membawa pengaruh yang tidak begitu positif seperti apa yang anda mungkin fikirkan.

Semakin banyak kajian menujukkan bahawa "berhubung" dengan orang lain tidak bermakna kita akan menjadi lebih bahagia tetapi ia sebenarnya menjejaskan mood kita kerana walaupun berhubungan dengan ramai orang tetapi sebenarnya kita masih keseorangan.

Ahli psikologi dari Universiti Michigan dan Universiti Louvain mengkaji lebih lanjut mengenai perkaitan antara penggunaan Facebook dan kepuasan hidup.

Pengkaji meminta sekumpulan responden menyatakan keadaan emosi ketika menggunakan Facabook lima kali sehari selama dua minggu.

Hasil penelitian, mereka mendapati, penggunaan Facebook dikaitkan dengan tahap kesejahteraan yang rendah dan mereka berasa lebih teruk selepas melayari laman sosial dari sebelumnya.

Semua orang mahu dilihat lebih bahagia daripada orang lain

Mengapa penggunaan Facebook akan mempengaruhi mood dan menyebabkan kita berasa teruk?

Ahli psikologi berkata, salah satu keperluan asas kita adalah hubungan sosial.

Hubungan interpersonal adalah sumber luar biasa mencapai keharmonian, namun media sosial tidak memberi hubungan sosial seperti itu bagi memastikan kita kekal 'sihat'

Satu penjelasan yang mudah adalah perasaan cemburu.

Facebook membolehkan kita melihat pencapaian orang lain walaupun sudah lama tidak berhubung.

Selain itu, dalam erti tertentu, media sosial menjadi tempat di mana orang mengumpul kejayaan kerjaya dan kehidupan peribadi, memuat naik gambar keluarga bahagia mereka, kereta mahal atau percutian luar biasa.

Fenomena ini dinamakan sebagai "friendly world síndrome", yang merujuk kepada kecenderungan untuk berfikir bahawa semua daripada mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik daripada kita.

Fenomena ini adalah hasil daripada kesan yang dikenal pasti oleh ahli sosiologi pada tahun 1970 dikenali sebagai "Significant world sindrome", di mana orang yang melihat banyak keganasan di televisyen berfikir dunia adalah lebih ganas daripada sebenarnya.

Sesuatu yang serupa berlaku dengan Facebook di mana apabila kita melihat gambar-gambar dan status kemaskini, kita berfikir bahawa orang lain lebih bahagia daripada kita dan ia akan mengurangkan kepuasan terhadap kehidupan kita sendiri dan mungkin menyebabkan kemurungan.

Pertandingan Populariti

Mungkin ada satu lagi masalah yang mendasari rasa tidak puas hati dan kesedihan yang dijana Facebook iaitu perasaan bahawa semua orang adalah lebih popular daripada kita.

Ia dikenali sebagai "persahabatan paradoks" kerana rakan-rakan kita cenderung untuk mempunyai lebih ramai rakan daripada kita.

Ia boleh membuatkan mereka berasa tidak layak mendapat perhatian atau kasih sayang daripada mereka sekali gus menyebabkan kemurungan.

Apa yang berlaku jika anda berhenti menggunakan Facebook?

Ini juga persoalan yang dikemuakan ahli psikologi dari Happiness Research Institute of Copenhagen terhadap diri sendiri dan mengkaji persoalan ini kepada seramai 1,000

pengguna media sosial ini di mana separuh daripada mereka terus menggunakannya setiap hari manakala separuh lain telah berhenti sepenuhnya.

Hasil kajian menunjukkan, selepas hanya satu minggu, 88 peratus daripada orang yang berhenti menggunakan media sosial dilaporkan lebih bahagia, kurang marah, lebih teruk, kurang tertekan dan lebih berpuas hati dengan kehidupan mereka malah tahap tekanan mereka menurun sebanyak 55 peratus.

Pengkaji juga mendapati kita cenderung memberi tumpuan kepada apa yang orang lain ada.

Kajian mendedahkan 5 daripada 10 iri hati dengan pengalaman indah yang orang lain kongsi di laman sosial, 1 daripada 3 iri hati dengan kegembiraan orang lain dan 4 daripada 10 pula iri hati dengan kejayaan orang lain.

Kesimpulannya, Facebook bukan penyebab utama mengurangkan kepuasan kita dengan kehidupan dan membuatkan kita berasa tidak baik, tetapi kecenderungan kita untuk menghadapi dan kognitif berat sebelah yang muncul semasa proses tersebut.

Hakikatnya ialah cara di mana rangkaian ini distrukturkan dan memudahkan perasaan perbandingan yang wujud tersebut.

Oleh itu, penyelesaian terbaik adalah untuk memberi tumpuan kepada kehidupan sebenar kita, di luar profil digital, dan mengelakkan perbandingan yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kita.

Kita perlu mula memberi tumpuan kepada apa yang kita benar-benar perlukan, bukan pada apa yang orang lain ada.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor