Pages

Tuesday, August 16, 2016

MEPS BANTU AMNI UMAIRAH


MEPS bantu Amni Umairah


Kuala Krai - Bayi yang menghidapi masalah Treacher Collins Syndrome sejak lahir bakal menerima bantuan pembedahan daripada Malaysian Eletronic Payment System Sdn Bhd (MEPS).

Alumni Sekolah Kebangsaan Kuala Krai, Zulkanain Kaasim berkata, beliau sedih melihat keadaan Amni Umairah yang tercicir daripada menerima bantuan.

Menurutnya, kanak-kanak itu perlu dibantu bagi membolehkan dia dapat menjalani pembedahan segera.

Beliau yang juga Group Managing Director MEPS, mengajak anak Kuala Krai yang berada di Kuala Lumpur khususnya Alumni SK Kuala Krai untuk bersama-sama membantu Amni Umairah serta masyarakat setempat yang memerlukan.

Menurutnya, bantuan berjumlah sekitar RM20,000 hingga RM25,000 kepada Amni Umairah akan disampaikan MEPS melalui Alumni SK Kuala Krai.

“Insya-Allah Amni Umairah akan menjalani pembedahan rahang. Saya sendiri akan minta daripada syarikat peruntukan duit zakat yang kita ada.

“Kita akan minta bahagian syariah proses bantuan untuk adik Amni Umairah,” katanya ketika melawat Amni Umairah di penempatan mangsa banjir di Lem Sungai Durian, petang semalam.

Zulkanain berkata, sebelum ini beliau mendapat maklumat keadaan Amni Umairah melalui Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kuala Krai, Siti Azah A Moin.

“Hari ini saya lihat sendiri keadaan Amni Umairah. Saya sedih melihat keadaannya, dia layak dibantu,” katanya.

Kisah penderitaan Amni Umairah disiarkan menerusi ruangan Sinar Di Hati untuk membantu mengumpul dana buat bayi ini.

Sementara itu, ibu Amni Umairah, Azlina Arshad, 39, meluahkan rasa syukur kerana bantuan diterima Amni Umairah makin bertambah.

Menurutnya, bantuan dimasukkan ke akaunnya juga bertambah kepada RM3,003.62.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama penyumbang,” katanya.

Ibu tujuh anak ini berkata, pertambahan bantuan diterima bermakna peluang anaknya untuk dibedah segera makin cerah.

Katanya, Amni Umairah perlu dibedah segera memandangkan dia kini bernafas melalui tiub dipasang pada leher, malah pertambahan usia menyebabkan dia makin lasak.

“Bila abang serta kakaknya makan, dia juga hendak makan. Ada masa dia menyorok untuk makan tapi saya tahu kalau dia makan mesti dia susah nak bernafas,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan ke:
Bank: Agro Bank (2-00-6701-00030412-3)
Penama: Azlina Arshad


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor