Pages

Tuesday, August 16, 2016

IPOH TERSENARAI DI LONELY PLANET


Ipoh


Bandar raya Ipoh telah dipetik oleh Lonely Planet sebagai destinasi yang keenam terbaik untuk dikunjungi di Asia selepas Hokkaido di Jepun, Shanghai di China, Jeonju di Korea Selatan, Kepulauan Con Dao di Vietnam, dan Hong Kong.

Lonely Planet merupakan sebuah syarikat penerbitan yang cukup sinonim dengan aktiviti pelancongan dan pengembaraan. Ia diasaskan oleh pasangan suami isteri, Tony dan Maureen Wheeler.

Selepas berkahwin, Tony dan Maureen berbulan madu dengan menjelajah Eropah dan Asia melalui darat dan seterusnya ke Australia. Pengembaraan itu mengambil masa beberapa bulan; mereka melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis, termasuk kehabisan wang ketika dalam perjalanan.

Pengalaman itu telah dikumpul dan ditulis dalam buku panduan perjalanan mereka yang pertama, Across Asia on the Cheap. Dalam masa seminggu, 1,500 naskhah buku tersebut telah terjual.

Ini mendorong mereka untuk menghasilkan sebuah lagi buku panduan perjalanan, Lonely Planet, yang juga telah dijadikan nama syarikat penerbitan mereka. Dua tahun kemudian, Tony dan Maureen menerbitkan Southeast Asia on a shoestring hasil pengembaraan kedua mereka.

Kini, selepas 40 tahun, buku Lonely Planet telah diterbitkan dalam 11 bahasa dan 120 juta naskhah telah terjual di seluruh dunia. Antara keunikan buku ini adalah ia mengandungi maklumat daripada mereka yang telah melancong dan melihat sendiri tempat-tempat yang diketengahkan, bukannya melalui penulis upahan atau pejabat pelancongan.

Maka segala pandangan dan cadangan yang diberikan adalah maklum balas sebenar mereka yang telah melawat tempat-tempat tersebut tanpa bermotifkan keuntungan. Para penulisnya terdiri daripada mereka yang melancong, tidak kira dengan bajet besar atau kecil.

Penulis-penulis Lonely Planet juga melawati tempat-tempat terpencil yang tidak tertulis dalam peta mahupun buku panduan pelancong yang biasanya dipamerkan di pejabat-pejabat pelancongan.

Buku tersebut mempunyai senarai kata kunci, kosa kata bahasa tempatan, nama tempat, restoran, dan hotel yang dilawati.

Berbalik kepada cerita bandar raya Ipoh, portal Lonely Planet telah menempatkan Ipoh pada tangga keenam dalam senarai tempat-tempat menarik di Asia yang harus dilawati kerana keindahan alam semula jadinya.

Antara yang disebut ialah Gua Tempurung, iaitu gua batu kapur terbesar di Semenanjung Malaysia; Gua Tambun yang memiliki lukisan-lukisan purba prasejarah berusia 3,000 tahun; dan Gunung Lang yang terdiri daripada bukit-bukit batu kapur dan tasik.

Selain itu, ia juga menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di Ipoh, antaranya memerhati burung (birdwatching) sambil berbasikal melalui Taman Semula jadi Kinta di Batu Gajah, berakit melalui arus deras di Gopeng, serta melawat kuil-kuil Buddha di bukit batu kapur.

Ipoh juga digambarkan sebagai syurga makanan kerana terdapat pelbagai jenis makanan dengan pelbagai cita rasa, apatah lagi apabila digabungkan dengan persekitaran tempat makan dan penginapan yang unik dan menarik. Antara makanan yang terkenal ialah tauge ayam Lou Wong, ‘tau fu fa’, dan kopi putih Ipoh.

Apa yang tidak disebut oleh Lonely Planet, bagaimanapun, ialah terdapatnya masjid berseni bina Cina di Taman Tasek Jaya, Ipoh. Konsep pembinaan masjid itu mengambil sepenuhnya idea seni bina tradisional dan budaya Cina yang diterjemahkan di keseluruhan bangunan termasuk bumbung, pagar, dinding serta dewan solat.

Pintu masuk utama berwarna merah dan dihiasi tulisan Cina. Yang menarik lagi, masjid Cina ini ditadbir oleh Cina Muslim daripada kalangan ahli jawatankuasa Macma Ipoh yang diketuai oleh Datuk Dr Fadzli Cheah.

Masjid Muhammadiah, atau lebih dikenali sebagai Masjid Cina Ipoh, ini sebenarnya turut menjadi salah satu tarikan pelancongan di Ipoh. Ramai orang bukan Islam melawat masjid tersebut, malah program-program masjid turut melibatkan masyarakat Cina bukan Islam yang tinggal di sekitarnya.

Secara tidak langsung, masjid ini telah memecah tembok prasangka masyarakat Cina bahawa Islam itu eksklusif untuk Melayu. Penyenaraian sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di Asia ini seharusnya membuka mata kita bahawa pasti banyak lagi destinasi lain di seluruh negara yang boleh mendapat pengiktirafan yang sama. Bagi yang belum pernah ke Ipoh, jom!


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor