
Shah Alam - Selepas hampir seminggu mendiamkan diri, bekas Menteri kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah tampil memaklumkan tindakannya melepaskan semua jawatan yang dipegang sebelum ini pada 27 Jun lalu adalah atas kerelaan beliau sendiri.
Menceritakan semula penglibatannya dalam politik kepada sebuah akhbar hari ini, Ahmad Husni memaklumkan bahawa beliau sebenarnya adalah seorang banker dan penglibatannya di dalam politik juga hanyalah secara kebetulan.
“Saya berhenti berkhidmat di bank kerana ingin bekerja di kampung halaman di Ipoh untuk membantu menaik taraf penduduk di sana.
“Waktu itu, ada sebuah syarikat di mana 30 peratus ekuiti adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan 70 peratus milik 3000 individu awam dari kalangan orang Melayu malah terdapat kekosongan untuk jawatan CEO.
“Jawatan ini sesuai dengan selera saya dan saya memikirkan jika syarikat ini berjaya, ia akan menghasilkan keuntungan dengan bayaran dividen yang bakal dinikmati oleh 3000 individu awam ini,” katanya.
Namun begitu, Ahmad Husni memaklumkan bahawa ketika berkhidmat dengan syarikat berkenaan, beliau telah didedahkan dengan isu integriti di mana organisasi berkenaan menggunakan orang berpengaruh untuk mengaut keuntungan.
Ahmad Husni berkata, peristiwa itu telah menyedarkannya tentang konsep integriti dan disebabkan itu beliau membuat keputusan untuk menceburi bidang politik.
“Dunia politik merupakan sesuatu yang indah. Betapa kita dapat membantu rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai pengakhiran karier politiknya, Ahmad Husni memaklumkan bahawa selepas mesyuarat Majlis Ekonomi pada 27 Jun lalu, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung rombakan kabinet serta penukaran portfolionya.
Ahmad Husni berkata, beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa pihaknya telah menetapkan untuk mengakhiri dunia politik di Kementerian Kewangan.
“Saya ada satu setengah tahun lagi untuk berkhidmat dan jika diberi portfolio lain menerusi rombakan itu, tempoh yang dimiliki tidak mencukupi untuk saya berkhidmat dengan efektif.
“Saya menerima hakikat bahawa kuasa melantik adalah hak mutlak Perdana Menteri,” katanya.
Disebabkan oleh Perdana Menteri ingin menukarkan beliau untuk memegang portfolio baru tersebut, Ahmad Husni memaklumkan bahawa dia terpaksa mengambil keputusan untuk meletak semua jawatannya dan hanya memegang jawatan ahli Parlimen sahaja.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor