Pages

Saturday, June 4, 2016

VIRAL KES TEBUSAN TIDAK BENAR


Viral kes tebusan tidak benar


Batu Pahat - Pihak polis kesal dengan tersebarnya maklumat berkaitan insiden seorang wanita dijadikan tebusan yang viral di laman sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Tongkang Pechah, di sini, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Binjai, namun polis menyatakan ia tidak benar.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian disebarkan itu hanyalah satu babak dilakonkan anggota polis dalam drama bersiri di sebuah televisyen dirakam di Kuching, Sarawak.

Katanya, lakonan aksi anggota polis mengepung sebuah rumah itu mencetuskan kebimbangan penduduk sekitar daerah ini apabila disalah gunakan individu tidak bertanggungjawab sehingga tersebar di laman sosial.

"Pihak polis terutama dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kesal dengan perbuatan tersebut sehingga mengaitkannya dengan pasukan polis di daerah ini.

"Tindakan mereka-reka cerita ini amat memberikan kesan kepada penduduk setempat. Walaupun ia tidak benar tetapi kebimbangan orang ramai pasti tercetus apabila ia tersebar.

"Perkara seperti ini bukanlah kali pertama berlaku di Batu Pahat, dah berulang kali dan paling dikesali apabila pihak polis dikaitkan dan menjadi sasaran jenayah siber ini," katanya.

Sehubungan itu, Din menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah mempercayai setiap maklumat yang diperoleh di media sosial terutama yang menjadi viral tanpa pengesahan pihak polis.

"Media sosial tidak seharusnya disalah guna dan dijadikan medan menyebarkan perkara tidak betul, ia harus dikikis dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dengan penyebaran maklumat ini di media sosial, kerana pihak polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan undang-undang sekiranya ia keterlaluan sehingga mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Menurutnya, media sosial sepatutnya dijadikan medium menyebarkan maklumat yang memberikan kesan positif kepada orang ramai.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor