Pages

Saturday, June 4, 2016

MB: GOTONG-ROYONG SETIAP BULAN


MB: Gotong-royong setiap bulan


Alor Setar - Pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri ini disarankan supaya menganjurkan program gotong royong membersihkan kawasan persekitaran masjid dan surau sempena bulan Ramadan pada tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perkara itu perlu dilaksanakan bagi mewujudkan suasana perhubungan yang baik dan mesra antara masyarakat setempat.

“Saya harap gotong royong ini akan terus berjalan di setiap daerah. Kita juga telah mewujudkan satu jawatankuasa untuk melaksanakan program gotong royong di seluruh negeri yang akan dipengerusikan oleh pegawai daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program gotong royong Muafakat Kedah sempena menyambut Ramadan di Masjid Kampung Teluk Junus, Mukim Padang Hang, di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun konsep gotong royong bukan suatu yang baru dan sering diadakan, namun aktiviti itu semakin ketinggalan sejak kebelakangan ini.

“Kalau boleh saya nak setiap bulan diadakan program gotong royong. Terpulang kepada pegawai daerah untuk memilih lokasi sesuai, tapi saya minta supaya ditumpukan di kawasan masjid dan surau.

“Program itu tak semestinya perlu melibatkan sehingga 500 orang, cukup sekadar melibatkan orang ramai, masyarakat setempat dan anak-anak muda kerana saya percaya melalui muafakat gotong royong ini mampu wujudkan hubungan yang lebih baik antara masyarakat,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, program itu juga tidak perlu melibatkan peruntukan yang amat besar kerana ia boleh dibantu juga oleh syarikat yang menguruskan kebersihan iaitu E-Idaman.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor