Pages

Monday, June 13, 2016

[TEMERLOH] RIBUT: 120 RUMAH ROSAK


Ribut: 120 rumah di Temerloh rosak


Dianggarkan 120 rumah dan kedai di lapan kampung di daerah ini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dalam kejadian yang berlaku di sini petang kelmarin.

Setiausaha Jawatankuasa Majlis Keselamatan Daerah Temerloh Mohd Amin Shafie berkata kejadian berlaku kira-kira 6.20 petang semasa hujan lebat diikuti kejadian ribut menyebabkan hampir separuh daripada rumah yang terlibat mengalami kerosakan teruk.

"Kejadian melibatkan Kampung Desa Murni Kerdau, Desa Murni Ketam, Desa Murni Sanggang, Kampung Paya Mengkuang, Paya Keladan dan beberapa kampung sekitar, menyebabkan kebanyakan rumah mengalami kerosakan selepas atap dan dinding diterbangkan angin.

"Ketika kejadian, kebanyakan penduduk sedang menunggu waktu berbuka puasa, bagaimanapun setakat ini tiada sebarang kecederaan dan kemalangan dilaporkan," katanya ketika dihubungi semalam.

Berikutan itu, katanya pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (Jpam), serta Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin turun padang melakukan operasi pembersihan.

Menurut Mohd Amin bancian jumlah penduduk yang terlibat sedang dilakukan dan jumlah kerugian masih dalam taksiran.

"Penduduk yang mengalami kerosakan rumah yang teruk, kini menumpang sementara di rumah saudara dan jiran terdekat. Bantuan sementara juga telah disalurkan untuk meringankan beban mangsa yang terlibat," katanya.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga dijadual akan mencemar duli esok untuk melawat dan memberikan bantuan kepada penduduk yang terlibat.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor