Sungai Besar - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menempelak Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang sengaja memfitnah Majlis Amanah Rakyat (Mara) apabila mendakwa elaun pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) dikurangkan daripada RM250 kepada RM125.
Tegasnya Mara tiada melakukan sebarang pengurangan bayaran elaun bulanan kepada pelajar di institut pengajiannya di seluruh negara dan semua elaun pelajar dikekalkan pada kadar sedia ada.
"Dakwaan itu fitnah semata-mata, Mara tidak mengurangkan jumlah elaun yang diberi kepada pelajar kami, malah untuk tahun ini Mara mengeluarkan kira-kira RM700 juta untuk tajaan pelajar cemerlang bagi melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negara.
"Dia (Rafizi) memang suka menabur fitnah," katanya yang mengulas dakwaan itu dalam sidang akhbar selepas membuat tinjauan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, di sini semalam.
Mengenai MRSM berkenaan, Ismail Sabri berkata ia akan dapat beroperasi sepenuhnya pada 16 Julai ini.
"MRSM yang dibina dengan kos RM48.2 juta ini hanya menunggu kelulusan daripada Indah Water Konsortium (IWK) bagi sistem pembentungannya.
"Difahamkan IWK akan datang ke sini pada minggu hadapan, sekiranya tiada masalah kelulusan beroperasi akan dapat diperoleh," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor