Tangkak - “Kebetulan saya lalu di kawasan ini dan berhenti kerana lihat ada kemalangan, tapi tak sangka mangsa adalah jiran saya sendiri,” kata Suhaisham Sadri, 39, saksi kemalangan maut di Jalan Muar-Segamat, pagi semalam.
Suhaisham mendakwa, dia dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum menemui sebuah kereta terbabas kerana melanggar sebatang pokok.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Mahad Kassiran, 48, maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 20.5 Jalan Muar-Segamat di sini, setelah kereta Perodua Kancil dipandunya hilang kawalan dan memasuki ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebatang pokok.
“Kemalangan masa tu baru lagi berlaku kerana ambulans dan polis belum lagi tiba. Saya cuba beri bantuan dan terkejut sejurus lihat mangsa adalah jiran kampung saya.
“Saya dapat lihat dia dalam keadaan lemah dan masih lagi bernyawa sebelum meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.
Menurut Suhaisham, mangsa yang masih bujang mempunyai pelbagai penyakit iaitu jantung, kencing manis dan buah pinggang.
“Setahu saya, dia sepatutnya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, namun saya tak tahu apa punca dia berpatah balik semula ke Tangkak sebelum terlibat dalam kemalangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohamad Salleh Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 pagi sebelum sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.
Hasil siasatan mendapati mangsa yang memandu secara bersendirian dilaporkan hilang kawalan, sebelum memasuki ke laluan bertentangan dan merempuh sebatang pokok.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor