Pages

Tuesday, June 7, 2016

'SOKONG BN SUDAH JADI DARAH DAGING'


'Sokong BN sudah menjadi darah daging'


Manong - "Selagi mata celik, saya tidak akan bertukar. Menyokong BN sudah menjadi darah daging."

Demikian ikrar pengundi warga emas, Ramlah Abdul Karim, 76, yang mahu terus menyokong perjuangan BN di Parlimen Kuala Kangsar.

Menurutnya, dia tidak akan mengundi calon selain Datin Mastura Mohd Yazid kerana merasakan beliau layak untuk jadi wakil rakyat bagi penduduk Kuala Kangsar.

Tambahnya, banyak pembangunan telah dilakukan wakil rakyat di kawasan itu termasuk oleh arwah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Pendirian saya tidak akan berubah. Saya akan tetap menyokong Umno dan BN sampai bila-bila. Semua kemudahan sudah ada, minta apa pun akan dapat," katanya.

Ramlah berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Udang selepas menerima kunjungan anak-anak Mastura, Wan Emir Astar, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Amar.

Dalam kunjungan sempena program Ziarah Ramadan di PDM Bekor, Wan Emir Astar menyampaikan sumbangan 50 beg mengandungi barang makanan kepada penduduk di kampung tersebut.


Menceritakan perasaannya apabila dikunjungi anak-anak lelaki Wan Mohammad Khair-il, Ramlah berkata, sikap baik dan suka membantu yang dimiliki pemimpin itu kini diwarisi oleh anak-anaknya.

"Datuk Wan selalu datang ke kampung dan apabila ada kenduri kendara, dia selalu hadir sehinggakan dia tidak segan untuk masuk terus ke dapur.

"Anak-anaknya juga mesra macam bapa dan ibu mereka. Saya harap mereka akan ikut sikap baik bapa mereka," ujarnya.

Sementara itu, seorang wanita warga emas yang menghidap strok, Zainab Endut, 63, berkata, walaupun tidak mampu berjalan namun dia tetap bersemangat untuk keluar mengundi pada 18 Jun ini.

"Saya harap BN akan menang. Sejak menjadi ahli UMNO, saya tidak pernah pangkah parti lain. Walaupun ada parti lain yang datang ke rumah untuk meraih undi, tapi pilihan saya tetap BN.

"Saya akan keluar mengundi walaupun terlantar dan berkerusi roda, saya tetap bersemangat untuk beri BN menang. Saya gembira apabila anak-anak Datuk Wan datang melawat saya dan suami," katanya.

Bagi suami Zainab, Mohd Sonin Arbi, 71, arwah Datuk Wan sering melawat mereka dan berkunjung ke dewan orang ramai di kampung tersebut.

"Rasa seronok dan bersyukur apabila melihat anak-anak Datuk Wan datang melawat. Kedatangan mereka mengingatkan saya kepada bapa mereka yang banyak berjasa kepada kami di sini dan saya berharap mereka meneruskan perjuangan bapa mereka di sini," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor