Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sesat dalam hutan hampir lima jam selepas mendakwa mengikut seorang nenek yang tidak dikenali ketika mahu pulang ke rumahnya di Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Mohd Amirul Azim Othman dikatakan sedang dalam perjalanan pulang selepas memancing bersama rakannya berhampiran sebuah kuari pasir di sini.
Namun, selepas pelbagai usaha dijalankan, Mohd Amirul akhirnya berjaya ditemui penduduk kampung berhampiran sebuah tali air di kampung berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam.
Menurutnya, dia masuk ke hutan berkenaan selepas mengikut seorang nenek.
“Ketika itu, saya terserempak dengan seorang nenek yang kata mahu pulang bersama.
“Saya ada beritahu nenek itu, saya akan mengikutnya dan tidak lama selepas itu, saya seperti tidak sedarkan diri dengan mengikutnya masuk ke dalam hutan.
“Apabila masuk dalam hutan, tiba-tiba nenek itu hilang. Saya mula rasa takut kerana ditinggalkan keseorangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohd Amirul, beberapa jam selepas itu dia terdengar orang memanggil namanya dan ternampak kelibat orang kampung mencarinya.
“Saya cuba memanggil mereka namun tiada siapa mendengar. Ketika itu, abang saya juga ada bersama.
“Selepas itu, saya dengar lagi nama saya dipanggil dan ketika menghampiri mereka saya ternampak ada satu laluan. Ketika keluar dari laluan itu, barulah penduduk kampung dapat lihat saya,” katanya.
Difahamkan, ini bukanlah kejadian pertama berlaku di kampung itu kerana beberapa tahun lalu, seorang wanita turut dilaporkan hilang selama sehari.
Wanita itu kemudian dijumpai di kawasan pokok buluh berdekatan rumahnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor